PADANG BESAR: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Izizam Ibrahim digesa supaya segera turun padang bagi menyelesaikan isu melibatkan beberapa cawangan parti itu susulan peletakan jawatan pimpinan bahagian dan ahli akar umbi secara beramai-ramai sebelum ini.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, langkah itu berikutan tiga bahagian di negeri ini iaitu Kangar, Arau dan Padang Besar masih hidup biar pun berlaku tindakan peletakan jawatan beramai-ramai.
Menurut beliau, buat masa ini, cawangan beliau iaitu Hujung Tanjung tetap kekal seperti biasa malah pihaknya juga masih lagi merupakan ahli Bersatu.
“Kita tak ada masalah tentang itu. Cuma sebagai Ketua Bahagian yang hilang 90 cawangan ini, perlu masa lah untuk atur langkah balik. Tapi saya amat mengharapkan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri yang baharu ini turun padang dan pastikan cawangan-cawangan Bersatu ini dapat dihidupkan balik.
“Jadi itu tugas besar yang harus dilaksanakan oleh Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri. Bagi saya sebagai Menteri Besar, kami berpaksi kepada mandat Perikatan Nasional (PN),” katanya di sini, hari ini.
Abu Bakar berkata demikian ketika diminta mengulas kemelut melanda Bersatu di negeri ini susulan pengumuman peletakan jawatan beberapa pimpinan bahagian dan akar umbi parti itu sebelum ini.
Ujar Abu Bakar, Jawatankuasa Bersatu Bahagian juga sebelum ini ada memaklumkan kepadanya berhubung isu peletakan jawatan itu malah difahamkan surat juga telah dihantar ke pusat.
“Cawangan-cawangan yang dah umumkan pula masih dalam proses (serah surat) dan kita nampak hari ini, bila perletakan jawatan berlaku maka pilihan mereka ada Parti Wawasan Negara (Wawasan) lah. Apa boleh buat.
“Kita tak boleh halang hak seseorang itu untuk pilih parti mana tapi yang pentingnya, saya mohon kepada Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri agar terus berusaha untuk memperkemaskan balik barisan Bersatu di Perlis,” katanya.-UTUSAN










