Malaysia pilih sasaran realistik LTdL 2026

Malaysia pilih sasaran realistik LTdL 2026

Presiden Persekutuan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill bersama pegawai pasukan dan atlet yang akan memikul cabaran dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL 2026) dalam majlis memperkenalkan skuad basikal kebangsaan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Skuad berbasikal lebuh raya kebangsaan memilih pendekatan realistik dalam menetapkan sasaran bagi menghadapi cabaran Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) yang memasuki edisi ke-30, bermula 27 September hingga 4 Oktober ini.

Jurulatih kebangsaan, Mohd Yusof Abdul Nasir berkata, barisan pelumba negara perlu memanfaatkan setiap peluang yang hadir selain menjadikan perlumbaan berstatus 2.ProSeries itu sebagai medan untuk menimba pengalaman dan memberikan saingan terbaik.

Menurutnya, sasaran untuk mencipta kemenangan keseluruhan bukan sesuatu yang mustahil untuk diimpikan, namun skuad negara perlu melihat kemampuan semasa sebelum meletakkan sasaran yang terlalu tinggi.

“Cabaran LTdL26 kali ini kita kena hadap dan jangan merendahkan diri. Kita harap pelumba dapat mengambil setiap peluang yang ada, belajar dan memberikan saingan yang hebat.

“Kalau tidak dapat berada dalam kategori keseluruhan, terbaik Asia pun sudah baik. Siapa yang tidak mahu kemenangan tetapi kita kena realistik dan saya tidak mahu menjanjikan sesuatu yang mustahil.

“Kita akan tengok keadaan mengikut peringkat perlumbaan. Mungkin sasaran kita adalah Jersi Putih sebagai pelumba terbaik Asia,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Pasukan Malaysia ke LTdL26 di Bukit Jalil, semalam.

LTdL26 kali ini menyajikan lapan peringkat dengan keseluruhan jarak perlumbaan sejauh 1,285.5 kilometer (km), merentasi lapan negeri serta menampilkan tiga pendakian utama iaitu Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands.

Malaysia bakal diwakili Muhammad Zawawi Azman selaku kapten bersama Muhammad Adam Hakimi Nazuan, Muhammad Yusri Shaari, Muhammad Zahin Wahii, Chan Jian Le, Muhammad Ameer Ahmad Kamal, Tsen Ren Han dan Muhammad Nazirul Aniq Abd Rahman.

Mengulas pemilihan pelumba, Yusof berkata, dia masih belum membuat keputusan untuk menyenaraikan senarai enam pelumba akhir dan akan melakukannya dalam masa terdekat berdasarkan persiapan akhir pasukan.

“Saya akan tengok prestasi mereka. Saya berharap mereka bersaing secara sihat agar kita dapat menyenaraikan pelumba terbaik untuk LTdL26,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×