AS akui miliki senjata di angkasa lepas

AS akui miliki senjata di angkasa lepas

ROKET SpaceX Falcon Heavy dilancarkan dengan membawa Teleskop Angkasa Nancy Grace Roman milik NASA dari Kompleks Pelancaran 39A di Pusat Angkasa Lepas Kennedy di Cape Canaveral, Florida.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) buat pertama kalinya mengakui memiliki senjata di angkasa lepas ketika ketegangan dengan Russia dan China terus meningkat.

Perkara itu didedahkan Setiausaha Tentera Udara AS, Troy Meink ketika berucap pada Persidangan Udara, Angkasa dan Siber 2026 anjuran Persatuan Angkatan Udara dan Angkasa di National Harbor, Maryland kelmarin.

“Pada hari ini, kita terus memastikan kita bersedia menghadapi ancaman yang semakin berkembang di mana sahaja ia wujud.

“Inilah sebabnya mengapa Angkatan Angkasa kini memiliki senjata kawalan angkasa di orbit yang mampu mempertahankan pasukan gabungan daripada tindakan bermusuhan pihak lawan. Perkara ini penting dari sudut pencegahan,” kata Meink dalam ucapan dasar.

Semasa sesi soal jawab, Meink enggan mengulas lanjut dan menegaskan pemilihan perkataan dalam ucapannya itu difikirkan dengan sangat teliti.

“Penting untuk kita mengekalkan keunggulan, bukan sahaja di udara tetapi juga di angkasa,” katanya, menurut laporan majalah Air & Space Forces.

The Washington Post yang memetik seorang pegawai AS berkata, teknologi dimaksudkan Meink mungkin merangkumi keupayaan untuk ‘melumpuhkan’ satelit musuh sekiranya ia digunakan bagi menyasarkan tentera AS atau satelit negara itu.

Tiada larangan antarabangsa terhadap penempatan senjata di angkasa, selagi ia bukan senjata pemusnah besar-besaran.

Presiden AS, Donald Trump menubuhkan Angkatan Angkasa pada 2019 ketika penggal pertamanya, dengan menyifatkan angkasa lepas sebagai ‘medan peperangan baharu dunia’.

Tahun lalu, beliau turut mengumumkan rancangan Golden Dome, sistem pertahanan peluru berpandu pelbagai lapisan yang direka untuk melindungi seluruh AS dan merangkumi pemintas berasaskan angkasa lepas.

Projek itu mengimbau kembali Inisiatif Pertahanan Strategik (SDI) yang dikenali sebagai Star Wars dan dilancarkan bekas Presiden AS, Ronald Reagan ketika kemuncak Perang Dingin pada 1983.

Program bercita-cita tinggi Reagan itu kemudiannya dikecilkan sebelum akhirnya dibatalkan tanpa senjata berasaskan angkasa yang dicadangkan sempat ditempatkan.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×