Asia Pasifik terajui penerbangan global

Asia Pasifik terajui penerbangan global, perlukan 19,120 pesawat baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Asia Pasifik dijangka kekal sebagai peneraju utama pertumbuhan sektor penerbangan global dalam tempoh dua dekad akan datang, dengan keperluan sebanyak 19,120 pesawat penumpang baharu menjelang 2045.

Menurut Ramalan Pasaran Global (GMF) 2026-2045 terbaharu Airbus, trafik penumpang di rantau itu dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 5.1 peratus, mengatasi purata global sebanyak 3.9 peratus.

“Pertumbuhan berkenaan dijangka menyebabkan aliran trafik penumpang di Asia Pasifik meningkat lebih dua kali ganda sepanjang tempoh ramalan.

“Daripada 19,120 pesawat baharu yang diperlukan, kira-kira satu pertiga adalah untuk menggantikan pesawat sedia ada, manakala selebihnya bagi menyokong peluasan perkhidmatan serta pertumbuhan pasaran.

“Jumlah keperluan Asia Pasifik itu mewakili kira-kira 45 peratus daripada keseluruhan 42,060 pesawat baharu yang diperlukan di seluruh dunia dalam tempoh berkenaan,” katanya dalam kenyataan. 

Airbus berkata, pertumbuhan pesat sektor penerbangan rantau itu didorong asas ekonomi yang kukuh selain peningkatan populasi berpendapatan sederhana, yang dijangka mencecah tiga bilion orang menjelang 2045.

Perkembangan tersebut, ditambah dengan proses urbanisasi yang pesat, menjadikan pengangkutan udara semakin penting dalam menyokong pertumbuhan sosial dan ekonomi di rantau berkenaan.

Mengikut kategori pesawat, Asia Pasifik dijangka menjadi pasaran terbesar dunia bagi penghantaran pesawat badan lebar (widebody), dengan permintaan dianggarkan sebanyak 3,420 unit atau hampir separuh daripada jumlah keperluan global.

Presiden Airbus Asia Pasifik, Anand Stanley berkata, corak perkhidmatan dan ketersambungan rangkaian penerbangan di rantau itu sedang melalui perubahan pesat.

“Selain peluasan rangkaian jarak jauh, syarikat penerbangan kini mula beralih daripada model tradisional ‘hab dan jejari’ (hub-and-spoke) kepada hubungan terus antara bandar sekunder dengan pasaran global.

“Menerusi teknologi pesawat generasi baharu, syarikat penerbangan di rantau ini sedang merangka semula peta ketersambungan, sekali gus memacu kemakmuran ekonomi jangka panjang,” katanya.

Sehingga akhir Ogos 2026, sebanyak 119 syarikat penerbangan di Asia Pasifik mengendalikan kira-kira 5,000 pesawat komersial Airbus, mewakili 58 peratus pegangan pasaran.

Selain itu, hampir 3,500 pesawat Airbus telah ditempah untuk penghantaran masa depan, bersamaan 61 peratus daripada keseluruhan tempahan tunggakan pengeluar bagi pesawat jet berkapasiti lebih 100 tempat duduk di rantau berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×