PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) berpotensi memperluaskan operasi antarabangsanya ke Maldives bagi meneroka sumber minyak di republik kepulauan itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan berkenaan akan dibincangkan bersama Petronas dengan mengambil kira kemampuan dan pengalaman luas syarikat minyak dan gas negara itu dalam sektor tenaga global.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, Petronas kini mempunyai kehadiran kukuh di beberapa negara termasuk Kanada, Turkmenistan, Sudan, Suriname, Peru dan Brazil.
“Mengenai cadangan supaya Petronas meneliti kemungkinan eksplorasi minyak di Maldives, saya perlu membincangkan perkara ini dengan Petronas.
“Saya yakin dengan kekuatan Petronas pada masa ini di seluruh dunia, dari Kanada hingga Turkmenistan dan Sudan serta Suriname, Peru dan Brazil.
“Saya berpandangan tidak menjadi masalah besar untuk melebarkan sayap lebih dekat ke sini, iaitu ke Maldives,” katanya pada sidang akhbar bersama Presiden Maldives, Dr. Mohamed Muizzu di Pejabat Presiden Maldives, Malé hari ini.
Terdahulu, Anwar mengadakan pertemuan bersama Presiden Maldives, Dr Mohamed Muizzu selepas diberi sambutan rasmi oleh Maldives National Defence Force, diiringi lagu kebangsaan Malaysia dan Maldives.
Dalam perkembangan sama, Anwar mencadangkan Suruhanjaya Bersama Malaysia-Maldives bersidang di Kuala Lumpur sebelum penghujung tahun ini sebagai langkah meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara.
Katanya, platform tersebut penting bagi menyelesaikan beberapa perkara tertunggak serta memastikan hubungan akrab yang terjalin dapat diterjemahkan menerusi kerjasama lebih nyata.
Beliau berkata, hubungan Malaysia dan Maldives perlu berasaskan pemahaman terhadap keperluan serta kelebihan masing-masing, selain diperkukuh melalui rasa hormat dan kepercayaan pada peringkat kepimpinan.
“Oleh sebab itu, apabila Presiden menunjukkan keakraban dan komitmen, saya kemudian mencadangkan supaya Suruhanjaya Bersama antara kedua-dua negara dapat diadakan secepat mungkin.
“Kami akan menganjurkannya di Kuala Lumpur sebelum akhir tahun ini. Perkara itu akan memperlihatkan komitmen kami untuk meningkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara bersaudara ini,” katanya.
Anwar berkata, antara perkara yang akan diberi perhatian ialah isu dihadapi rakyat Maldives di Malaysia, khususnya dalam kalangan pelajar serta mereka yang datang untuk mendapatkan rawatan kesihatan.
Menurutnya, kehadiran lebih 2,000 pelajar Maldives di negara ini membuktikan hubungan persahabatan yang erat, selain mencerminkan keyakinan mereka terhadap sistem pendidikan Malaysia.
Katanya, beberapa kekangan birokrasi melibatkan ibu bapa yang menemani anak masing-masing belajar di negara ini sudah dibincangkan dan dijangka diberi perhatian dalam mesyuarat Kabinet akan datang.
“Saya tidak fikir isu ini berkenaan perbezaan dasar. Kita tidak mempunyai masalah dengan rakyat Maldives yang tinggal di Malaysia, bekerja di Malaysia ataupun yang belajar di Malaysia.
“Jadi, saya fikir kita akan memberikan maklum balas yang positif,” katanya. – UTUSAN










