Mohd Marzuki kini Ketua Pegawai Eksekutif baharu SKM

Mohd Marzuki kini Ketua Pegawai Eksekutif baharu SKM

MOHD MARZUKI YASOA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) melantik Mohd Marzuki Yasoa’ sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharunya berkuat kuasa mulai 14 September 2026.

SKM berkata, pelantikan ini satu langkah penting bagi memperkukuh kepimpinan dan kesinambungan pentadbiran SKM, sejajar dengan hasrat untuk terus memperkasa gerakan koperasi sebagai penyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.

Katanya, Mohd Marzuki akan menerajui pengurusan dan operasi harian SKM, termasuk memastikan dasar, strategi dan program pembangunan koperasi dilaksanakan dengan berkesan, berintegriti dan berimpak.

“Membawa bersama lebih 26 tahun pengalaman di dalam gerakan koperasi, kepimpinan beliau diharapkan dapat terus memperkukuh keupayaan SKM dalam menghadapi landskap gerakan koperasi yang kian dinamik, sekali gus meningkatkan daya saing, profesionalisme dan tadbir urus sektor koperasi.

“Pelantikan beliau datang pada waktu yang penting bagi gerakan koperasi negara, yang kini memerlukan pendekatan yang lebih strategik, inovatif dan peka terhadap perubahan ekonomi serta keperluan anggota koperasi,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, di bawah kepimpinan baharu ini, SKM akan terus fokus memperkukuh ekosistem koperasi melalui pemerkasaan tadbir urus, meningkatkan keupayaan koperasi, mengembangkan aktiviti perniagaan serta menggalakkan inovasi dan mempercepatkan transformasi pendigitalan.

Tambahnya, sebagai badan kawal selia tunggal bagi gerakan koperasi negara, SKM terus bekerjasama rapat dengan Institut Koperasi Malaysia (IKMa), sebagai peneraju latihan dan pembangunan modal insan koperasi.

Selain itu, pihaknya juga bekerjasama dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), sebagai badan payung yang mewakili suara dan kepentingan gerakan koperasi di Malaysia dan di peringkat antarabangsa. 

“Kerjasama erat ini penting bagi memastikan hala tuju pembangunan koperasi negara kekal berfokus, tersusun dan saling melengkapi.

“SKM turut akan terus memperhebatkan kerjasama strategik bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), kementerian dan agensi kerajaan, kerajaan negeri serta pemegang taruh gerakan koperasi, bagi memastikan sektor koperasi terus berkembang sebagai salah satu pemacu penting ekonomi negara,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×