PETALING JAYA: Pelakon, Ezannie Jasny, menolak pandangan segelintir pihak yang memanggilnya Ratu Air Mata hanya kerana kerap melakonkan watak wanita teraniaya dalam drama.
Pelakon berusia 26 tahun itu sebaliknya mahu membuktikan dia pelakon versatil yang mampu membawakan pelbagai watak.
“Saya masuk dunia lakonan kerana mahu mencuba pelbagai watak. Tapi dua tahun kebelakangan ini saya asyik membawa watak dan jalan cerita yang sama.
“Saya tak mahulah digelar Ratu Air Mata disebabkan kerap membawa watak wanita teraniaya.
“Jadi mungkin selepas ini saya akan mencuba watak berbeza,” katanya ketika ditemui semasa tayangan drama Bulan Henti Bicara baru-baru ini.
Ezzanie dalam masa sama tidak khuatir, disalah anggap terlalu memilih (watak) atas tindakannya itu.
“Selama saya terima apa sahaja karakter yang diberikan, saya juga ingin berubah.
“Sebelum penonton ‘cop’ saya memilih watak, mungkin mereka boleh menilai dahulu watak-watak yang saya bawakan sebelum ini,” katanya lagi.
Ditanya tentang watak Zulfa, Ezzanie memaklumkan biasa apabila watak dilakonkannya dalam drama berkenaan dikatakan kurang cerdik berbanding watak lain dalam naskhah itu.
“Sebelum ini, watak Nuha dalam drama Dia Bukan Syurga juga dikatakan sebegitu rupa, kali ini Zulfa pula.
“Sebenarnya, saya juga merasakan perkara yang sama semasa kali pertama diberikan skrip Bulan Henti Bicara.
“Tetapi watak ini sebenarnya meninggalkan kesan yang penting di pengakhiran cerita,” ujarnya. – UTUSAN










