PETALING JAYA: Dalam menghitung ketibaan hari bahagia, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq dan penyanyi, Bella Astillah sempat menuntut ilmu rumah tangga bersama isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Menurut Syed Saddiq, dia dan Bella telah meluangkan masa selama dua jam demi ‘berguru’ dengan ahli politik itu yang disifatkan sebagai individu yang selayaknya memberi pandangan berkaitan rumah tangga.
“Hampir dua jam saya dan Bella ‘berguru’ bab perkahwinan dengan Dr Wan Azizah. Kalau hendak cari orang paling layak beri nasihat tentang rumah tangga, pengorbanan dan kesetiaan, susah hendak lawan beliau,” tulisnya pada hantaran Threads.
Kagum dengan keperibadian Dr Wan Azizah, Syed Saddiq turut menyifatkan beliau sebagai wanita Malaysia yang tabah dan penuh kasih sayang selepas berkali-kali diuji dalam kahidupan biarpun sibuk menguruskan perihal politik.
“Dr Wan Azizah memahami selok-belok dunia politik. Beliau tahu besarnya pengorbanan isteri dan ibu. Diuji berkali-kali, dalam keadaan yang bukan mudah, tetapi tetap teguh dan setia bersama keluarga.
“Sebab itu bagi saya, beliau ialah ‘Malaysia’s Compassionate Iron Lady’,” selorohnya.
Dalam masa sama, Syed Saddiq turut mengenang jasa baik Dr Wan Azizah ketika berkhidmat bersama di Kabinet suatu ketika dahulu, selain menganggap beliau sosok istimewa yang perlu ada pada majlis hari bahagia mereka nanti.
“Saya sendiri pernah mendapat penghormatan berkhidmat bersama beliau dalam Kabinet. Suatu penghormatan dan keistimewaan yang saya akan sentiasa hargai.
“Kali ini datang bukan untuk mesyuarat Kabinet, tapi saya dan Bella datang bawa kad kahwin,” luahnya.
Sebelum ini, Syed Saddiq dan Bella mengesahkan bakal mendirikan rumah tangga pada 10 Oktober depan.
Majlis pernikahan mereka akan berlangsung di aras 118, Menara Merdeka Maybank, dengan konsep serba putih disulami elemen Arab atau Islamik atas permintaan keluarga.
Syed Saddiq dan Bella mula berkenalan dengan lebih rapat pada 2025 sebelum mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.









