Terusan Panama kurangkan lagi trafik maritim akibat El Nino

Terusan Panama kurangkan lagi trafik maritim akibat El Nino

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PANAMA CITY: Terusan Panama merancang untuk mengurangkan lagi jumlah kapal yang melalui laluan air itu selepas sebelum ini mengehadkan trafik akibat fenomena cuaca El Nino, menurut pentadbir terusan itu.

Panama mengisytiharkan darurat di seluruh negara susulan El Nino, fenomena yang berlaku di Lautan Pasifik dan mempengaruhi corak cuaca di seluruh dunia serta meningkatkan suhu global.

Keadaan itu menyebabkan kemarau teruk di Amerika Tengah, sekali gus menimbulkan masalah besar kepada Terusan Panama yang menghubungkan dua lautan.

Kira-kira lima peratus perdagangan dunia melalui laluan air itu, yang tidak dapat beroperasi tanpa bekalan air untuk menggerakkan sistem pintu air bagi menaikkan dan menurunkan kapal ketika memasuki dan keluar dari terusan.

Pihak berkuasa terusan mengurangkan jumlah kapal yang boleh melalui laluan itu setiap hari daripada 36 kepada 32 pada 4 September bagi menjimatkan bekalan air dan akan mengurangkannya lagi kepada purata 29.5 kapal sehari mulai Oktober, menurut draf belanjawan yang dikemukakan kepada Parlimen Panama.

“Belanjawan yang diluluskan itu memastikan terusan terus beroperasi dengan selamat, berterusan, cekap dan menguntungkan,” kata Menteri Hal Ehwal Terusan, Jose Ramon Ycaza.

El Nino tahun ini dijangka menjadi yang terkuat sejak mula direkodkan empat dekad lalu.

Pada 2023, fenomena itu menyebabkan jumlah kapal yang melalui terusan setiap hari dikurangkan daripada 38 kepada 22.

Perang AS-Israel terhadap Iran meningkatkan trafik melalui terusan berkenaan berikutan laluan Selat Hormuz terhenti, yang menjadi laluan bagi satu perlima bekalan minyak dan gas dunia.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×