Operator kilang didakwa tunggang melulu sehingga cederakan anggota trafik - Utusan Malaysia

Operator kilang didakwa tunggang melulu sehingga cederakan anggota trafik

OPERATOR kilang yang bekerja di Singapura dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Tinggi hari ini atas dua pertuduhan memandu secara melulu dan menyebabkan seorang anggota trafik cedera.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Seorang operator kilang di Singapura didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua dakwaan memandu secara melulu dan merbahaya serta menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang anggota polis trafik, Ahad lalu.

Tertuduh, S. Hari Kumar, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret, Norkhalida Farhana Abu Bakar.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia sebagai penunggang motosikal Yamaha 135LC telah menunggang secara melulu dan merbahaya hingga mungkin menyebabkan bencana iaitu patah tangan kanan kepada Koperal Mohd. Fauzi Che Zakaria di di Jalan Yusuf, bandar Kota Tinggi, pada pukul 10.03 pagi, 13 September lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda tidak lebih daripada RM15,000.

Mahkamah juga hendaklah memerintahkan lesen memandu tertuduh boleh diendorse sama ada hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dari tarikh sabitan.

Jika seseorang yang memegang lesen memandu percubaan disabitkan di bawah seksyen ini, mahkamah hendaklah membatalkan lesen memandunya itu.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh telah dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah kepada anggota polis yang sama semasa penjawat awam itu menjalankan kewajipannya dengan sah di sisi undang-undang sebagai penjawat awam pada pukul 9.45 pagi di Jalan Yusuf, bandar Kota Tinggi.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 333 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan juga boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nuraini Shapee manakala tertuduh diwakili peguam B. Mariammah.

Pendakwa mencadangkan mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam memohon mahkamah memberi jaminan rendah memandangkan tertuduh bekerja di Singapura dengan gaji 1,500 dolar Singapura selain masih menanggung kedua ibu dan bapanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan serta menetapkan 5 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×