Dakwaan ‘duress’, ‘undue influence’ di Negeri Sembilan serah kepada polis

Dakwaan ‘duress’, ‘undue influence’ di Negeri Sembilan serah kepada polis

AZALINA Othman Said ketika menyertai Program Kayuhan Fashionista, Bulan Kebangsaan 'Dua Sambutan, Satu Jiwa', di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menyerahkan kepada polis untuk menyiasat dakwaan wujud unsur paksaan atau pengaruh tidak wajar dalam kemelut politik dan institusi diraja di Negeri Sembilan.

Beliau berkata, sebarang dakwaan berkaitan unsur ‘duress atau undue influence’ perlu disiasat pihak berkuasa dan tidak wajar didahului dengan sebarang komen atau kesimpulan oleh pihak lain.

“Saya rasa nombor satu, apabila ada dakwaan duress atau undue influence, itu terpulang kepada polis untuk menyiasat.

“Kita tidak sepatutnya memberikan komen, polis mungkin sudah buka fail, jadi biarlah polis menyiasat apa maksud duress dan apa maksud undue influence,” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan isu di Negeri Sembilan, termasuk dakwaan wujud unsur paksaan dalam perkara yang sedang dipertikaikan.

Dalam pada itu, Azalina berkata penyelesaian terhadap isu berkenaan perlu diserahkan kepada kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di peringkat negeri.

Katanya, UMNO mempunyai Perhubungan Negeri Sembilan selain BN Negeri Sembilan yang diyakini mampu mencari penyelesaian terhadap perkara berkenaan.

“Bagi saya, UMNO mempunyai Perhubungan Negeri Sembilan di Negeri Sembilan, dan juga Barisan Nasional Negeri Sembilan.

“Saya sangat yakin kedua-dua entiti ini mampu mencari penyelesaian kepada masalah ini,” katanya.

Azalina berkata, UMNO sebagai sebuah parti juga memahami peranan dan hubungan antara Menteri Besar dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Justeru, beliau berpandangan semua pihak perlu memberikan masa dan ruang kepada UMNO Negeri Sembilan, Perhubungan Negeri Sembilan serta kerajaan negeri untuk mencari penyelesaian terbaik.

“Saya percaya kita perlu beri mereka masa dan ruang untuk Perhubungan Negeri Sembilan, UMNO Negeri Sembilan dan juga Exco, kerajaan negeri, untuk tampil dengan penyelesaian mereka terhadap perkara ini.

“Kita kena beri mereka ruang dan masa, dan kita perlu menghormati apa yang mereka sedang lihat dalam perkara ini,” katanya.

Azalina pada masa sama menegaskan Kerajaan Persekutuan dan UMNO di peringkat pusat tidak seharusnya campur tangan dalam isu berkenaan kerana ia merupakan perkara di peringkat negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×