WASHINGTON: Muslihat Amerika Syarikat (AS) berperang dengan Iran pada 28 Februari lalu akhirnya terbongkar apabila Presiden Donald Trump mendedahkan AS mahu menguasai minyak negara itu. Iran sejak bertahun-tahun lalu merupakan pengeluar minyak ketiga terbesar di dunia.
Trump tanpa berselindung turut menyatakan hasrat Washington untuk ‘berada’ di negara itu selain membandingkannya dengan usaha AS untuk menguasai satu perlima daripada rizab minyak Venezuela.
Venezuela kini berada di bawah ‘pengaruh’ AS selepas tentera negara itu menangkap pemimpinya, Nicolas Maduro pada Januari lalu dan didakwa atas tuduhan berkaitan dadah dan kini dibicarakan di mahkamah New York bersama isterinya.
Susulan penangkapan Maduro itu, syarikat-syarikat tenaga AS menandatangani beberapa perjanjian bernilai berbilion dolar dengan Venezuela, beberapa hari selepas negara Amerika Selatan tersebut bersetuju memberikan Washington kawalan terhadap sebahagian besar rizab minyaknya yang begitu besar.
Dalam pada itu Iran yang merupakan anggota Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC), menghasilkan kira-kira 4.5 peratus daripada bekalan minyak dunia.
Pengeluaran Iran berjumlah kira-kira 3.3 juta tong minyak mentah sehari, selain 1.3 juta tong sehari kondensat dan cecair lain ketika peringkat awal perang berlaku antara negara itu dengan AS.
Semalam, kedua-dua kontrak minyak mentah utama yang sudah berada melebihi AS$100 (RM406) setong melonjak lebih tiga peratus pada satu ketika selepas Arab Saudi menutup saluran paip Timur-Baratnya susulan serangan dron oleh kumpulan Houthi dari Yemen manakala sebuah kapal dagang diserang di Selat Hormuz.
Perang Iran bermula selepas Teheran gagal mencapai kata sepakat dengan AS berhubung program senjata nuklear dalam perbincangan yang diadakan di Switzerland, beberapa hari hari sebelum Amerika bersama Israel menyerang Republik Islam itu.
Bagaimanapun, Trump yang mendedahkan hasrat itu ketika melawat Ireland pada Ahad berkata,berkata, keputusan untuk ‘berada’ di Iran bergantung kepada perkembangan perang dan rundingan antara Washington dengan Teheran.
“Kita akhirnya akan keluar (dari Iran), melainkan kita memutuskan untuk kekal dan mengambil minyak seperti di Venezuela,” kata Trump.
Trump berkata, hasil yang diperoleh AS daripada Venezuela telah menampung kos peperangan Amerika berkali-kali ganda.
Ketika lawatan ke Ireland bagi menghadiri beberapa pertemuan dan menonton kejohanan golf, beliau sekali lagi menjangkakan perang Iran akan berakhir tahun ini.
Menurut Trump, perang itu mungkin berakhir selepas pilihan raya pertengahan penggal AS yang dijadualkan pada November.
Ketika berucap pada Kejohanan Terbuka Ireland, Trump berkata, harga petrol akan ‘merosot dengan mendadak’ selepas perang Iran berakhir.
Kenyataan itu dibuat ketika pergolakan di Asia Barat terus memberi kesan kepada pasaran minyak dunia.
Pedagang minyak menjangkakan harga komoditi berkenaan kembali meningkat susulan serangan terhadap saluran paip minyak Arab Saudi.
Kenaikan harga minyak itu menambah tekanan terhadap pasaran tenaga yang sebelum ini terjejas akibat konflik di rantau berkenaan.










