ACLE: Israfilov optimis JDT mampu tumbangkan Buriram United - Utusan Malaysia

ACLE: Israfilov optimis JDT mampu tumbangkan Buriram United

KETUA Jurulatih JDT, Xisco Munoz bersama pemain, Eddy Israfilov pada sidang media menjelang perlawanan ACLE menentang Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kehadiran beberapa pemain import yang memperkuatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) musim ini dijangka mampu membantu pasukan membenam Buriram United dalam aksi Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam esok.

Pemain pertahanan, Eddy Israfilov berkata, persiapan skuad Harimau Selatan bagi mengharungi ACLE musim ini berjalan lancar menerusi latihan pramusim di Sepanyol yang menyaksikan JDT didedahkan dengan bola sepak gaya Eropah.

Tambahnya, momentum kemenangan yang diraih dalam saingan Liga Malaysia musim ini turut memperkemas corak permainan dan membentuk keserasian baik dalam kalangan pemain.

“Kini tumpuan kami terarah sepenuhnya untuk aksi pertama menentang juara Liga Thailand itu, rekod pertemuan membuktikan mereka lawan yang sukar untuk ditewaskan. Justeru, kami perlu buat persiapan rapi untuk meraih keputusan positif.

“Tidak dinafikan Buriram United merupakan pasukan yang baik dan mereka memiliki barisan pemain berkualiti, pertemuan ini boleh menjadi kayu pengukur sejauh mana kekuatan JDT musim ini.

“Kami bersedia dengan apa jua situasi di atas padang khususnya ketika mereka melakukan serangan balas pantas. Selaku pemain pertahanan, kami tidak akan leka dan membuat kesilapan mudah kerana mereka bijak menghidu peluang,” katanya.

Mengulas mengenai kombinasi bersama Kevin Medina, katanya, mereka berjaya membentuk keserasian dan gandingan mantap setelah saling memahami pergerakan masing-masing.

Dalam pada itu, pengendali JDT, Xisco Munoz memilih untuk memberi lebih tumpuan kepada penyerang berbisa Buriram United, Guilherme Bissoli yang bakal memberi ancaman terhadap benteng skuad Harimau Selatan.

Katanya, larian lincah pemain import kelab Thailand itu mampu mengkucar-kacirkan pertahanan JDT dan menyelinap antara ruang kosong bagi menembusi benteng tuan rumah.

“Bissoli bukan pemain yang asing lagi setelah berdepan dengan kelicikan pemain tersebut dalam pertemuan sebelum ini. Bukan mudah untuk merantainya namun kami perlu membataskan pergerakannya.

“Seperti biasa, JDT perlu tampil dengan aksi yang agresif dan memberikan tekanan tinggi terhadap lawan, kita tidak boleh bagi ruang buat Buriram United untuk mengatur gerakan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×