WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, meminta rakan sejawatnya dari Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, menghentikan serangan terhadap loji penapisan diesel Russia kerana tindakan itu menyebabkan harga bahan api meningkat.
Trump menegaskan, serangan Ukraine terhadap kemudahan pengeluaran bahan api Russia menjejaskan bekalan minyak global.
“Masalah yang saya lihat berkaitan Ukraine dan Russia ialah banyak bekalan diesel datang dari Russia, dan loji-loji Russia itu diserang oleh Ukraine.
“Saya telah meminta Presiden Zelenskyy supaya tidak menyerang loji diesel dan penapisan tersebut,” katanya kepada pemberita dalam pesawat Air Force One ketika dalam perjalanan pulang ke Washington, DC, dari Ireland kelmarin.
Menurut Trump, kesukaran membawa diesel dari Russia ke pasaran menyebabkan harga bahan api berkenaan meningkat.
“Harga diesel meningkat kerana diesel sukar keluar dari Russia dan keadaan itu menjejaskan dunia. Kita perlu menghentikannya,” katanya.
Menurut laporan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) yang diterbitkan pada Jumaat, eksport bersih diesel dan gasoil dari negara-negara Teluk pada Ogos hanya berada pada tahap ‘lebih sedikit daripada satu perempat’ berbanding jumlah sebelum perang terhadap Iran bermula pada Februari.
“Gangguan terhadap sistem penapisan minyak Russia serta hampir terhentinya eksport produk petroleum susulan peningkatan serangan Ukraine memburukkan lagi kekurangan berkenaan,” menurut IEA.
IEA menambah, gabungan eksport bersih diesel dan gasoil dari negara-negara Teluk serta Russia menyumbang hampir 45 peratus daripada perdagangan global melalui laut.
Kyiv mendakwa industri minyak Russia bukan sahaja menjadi sumber pembiayaan, malah membekalkan bahan api secara langsung kepada operasi ketenteraan Moscow dalam perang yang sudah memasuki tahun keempat di Ukraine.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Russia meningkatkan serangan udara terhadap Ukraine dengan menggunakan peluru berpandu balistik dan dron berkuasa jet untuk menembusi pertahanan Ukraine.
Serangan Moscow turut menyasarkan grid elektrik Ukraine menjelang musim sejuk, yang menurut pegawai negara itu bertujuan melemahkan semangat orang awam.- AGENSI









