Tunggu pendaki Croatia pulih sebelum putuskan tindakan lanjut - Jafry

Tunggu pendaki Croatia pulih sebelum putuskan tindakan lanjut – Jafry

JAFRY ARIFFIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan menentukan tindakan lanjut terhadap pendaki warga Croatia, Mauro Persic, yang ditemukan selepas lapan hari bersendirian dalam keadaan cedera di Gunung Kinabalu, selepas lelaki itu selesai menjalani rawatan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pihaknya dimaklumkan jabatan, lembaga dan agensi berkaitan sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi berkaitan kini masih menjalankan siasatan, manakala Persic masih menerima rawatan selepas diselamatkan dari gunung berkenaan.

“Buat masa ini, saya difahamkan pihak jabatan, lembaga dan rakan-rakan agensi sudah membuat laporan polis berkenaan insiden tersebut.

“Cuma, saya difahamkan pendaki berkenaan masih dalam rawatan. Jadi, pihak polis dan rakan agensi sedang menjalankan siasatan atas dasar kemanusiaan dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar khas sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2026 di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.

Jafry berkata, sebarang keputusan berhubung tindakan atau hukuman terhadap pendaki terbabit hanya akan diputuskan selepas keadaan kesihatannya pulih.

“Setelah dia sihat kelak, barulah keputusan lanjut dibuat. Rasanya, ini berkenaan hukuman maksimum atau tindakan sewajarnya.

“Mungkin dia orang luar (warga asing), tetapi ini menjadi iktibar kepada orang ramai agar tidak menggunakan laluan tidak sah untuk mendaki demi keselamatan. Apapun, berikan beliau (Mauro) masa dahulu kerana dia masih dalam rawatan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Persic ditemukan pasukan mencari dan menyelamat selepas dipercayai tersesat dan bersendirian selama lapan hari di Gunung Kinabalu.

Pendaki terbabit dilaporkan ditemukan dalam keadaan cedera sebelum diselamatkan, dipercayai selepas memasuki gunung berkenaan tanpa permit rasmi.

Persic menerusi hantaran di Facebook turut berkongsi pengalaman berkenaan, menyifatkan operasi menyelamat itu membuat beliau rasa tersentuh terutama apabila anggota penyelamat dan porter terpaksa mengusungnya turun selepas dia terlalu lemah dan cedera untuk meneruskan perjalanan sendiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×