Ringgit dijangka bergerak RM4.06 hingga RM4.08 minggu ini 

Ringgit dijangka bergerak RM4.06 hingga RM4.08 minggu ini 

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit dijangka bergerak dalam julat sempit antara RM4.06 hingga RM4.08 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu ini dengan tumpuan pasaran terarah kepada keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Rizab Persekutuan AS (Fed) dan Bank of Japan (BOJ).

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kedua-dua bank pusat itu dijangka menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas.

“Jangkaan kenaikan kadar faedah di AS sudah memberi sokongan kepada dolar AS. Fed juga dijangka mengeluarkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), inflasi dan kadar faedah.

“Perkembangan harga minyak dan konflik geopolitik turut menjadi antara faktor yang mempengaruhi pergerakan ringgit minggu ini.

“Konflik AS-Israel-Iran yang semakin memuncak telah mendorong harga minyak mentah Brent meningkat kepada sekitar AS$104.64 (RM425.73) setong.

“Harga minyak yang tinggi lazimnya memberi sedikit sokongan kepada ringgit memandangkan Malaysia merupakan pengeksport minyak, namun sentimen penghindaran risiko (risk-off) yang kukuh pula cenderung menguatkan dolar AS,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, data ekonomi AS yang kukuh turut meningkatkan jangkaan terhadap dasar monetari Fed.

“Indeks Harga Pengeluar (PPI) AS bagi Ogos meningkat lebih tinggi daripada jangkaan, iaitu 5.4 peratus tahun ke tahun, sekali gus meningkatkan kebarangkalian Fed menaikkan kadar faedah kepada kira-kira 75 peratus.

“Faktor itu menyebabkan ringgit mengukuh sedikit pada Jumaat lalu kepada RM4.0680/0745 berbanding dolar AS,” ujarnya.

Dalam pada itu, Aimi Zulhazmi berkata, bagaimanapun ringgit dijangka kekal dalam julat ketat berikutan asas makroekonomi domestik yang masih positif.

“Ini disokong pendirian Bank Negara Malaysia (BNM) yang lebih tegas dalam dasar kadar faedah serta ketahanan ekonomi domestik, khususnya dalam pelaburan dan eksport berkaitan perkembangan kecerdasan buatan (AI).

“Risiko kepada ringgit adalah sekiranya Fed mengambil pendirian lebih hawkish atau konflik geopolitik kembali meningkat, yang boleh menyebabkan ringgit tertekan melepasi paras RM4.08 berbanding dolar AS,” katanya.

Sementara itu, Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, ringgit minggu ini dijangka berada dalam fasa stabil hingga sedikit mengukuh, namun pergerakannya masih dipengaruhi data ekonomi AS, jangkaan kadar faedah Fed AS dan sentimen risiko global.

“Bagi minggu ini, ringgit dijangka bergerak stabil hingga sedikit lemah dalam julat antara RM4.05 hingga RM4.10 berbanding dolar AS dengan paras RM4.07 hingga RM4.09 dilihat sebagai julat pergerakan yang paling berkemungkinan.

“Sekiranya data ekonomi AS lebih kukuh daripada jangkaan, dolar AS berpotensi mengukuh dan mendorong ringgit menghampiri paras RM4.10.

“Bagaimanapun, berdasarkan unjuran kebarangkalian, terdapat 60 peratus kemungkinan ringgit kekal sekitar RM4.06 hingga RM4.09, 25 peratus untuk mengukuh di bawah RM4.05 dan 15 peratus untuk melemah melepasi paras RM4.10,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×