SEOUL: Korea Selatan merekodkan jumlah pelajar sekolah yang meninggal dunia akibat bunuh diri tertinggi dalam sejarah pada 2025, dengan peningkatan hampir 65 peratus berbanding lima tahun sebelumnya.
Seramai 244 pelajar sekolah rendah dan menengah meninggal dunia akibat bunuh diri tahun lalu, menurut data Kementerian Pendidikan yang diperoleh Ahli Parlimen Parti Demokratik Korea, Kim Moon-soo.
Jumlah itu meningkat 10.4 peratus berbanding 221 kes yang direkodkan pada 2024 dan 64.9 peratus berbanding 148 kes pada 2020.
Daripada jumlah keseluruhan tahun lalu, enam membabitkan pelajar sekolah rendah, 92 pelajar sekolah menengah dan 146 pelajar sekolah menengah atas.
Angka berkenaan merupakan jumlah tertinggi sejak kerajaan Korea Selatan mula merekodkan data terbabit.
Peningkatan kes turut dicatatkan di beberapa kawasan termasuk Seoul, Busan dan wilayah Gyeongsang Selatan.
Seoul merekodkan 51 kematian pada 2025, meningkat 27.5 peratus berbanding 40 kes pada tahun sebelumnya.
Di Busan pula, jumlah kes meningkat lebih tiga kali ganda daripada tujuh pada 2024 kepada 22 kes tahun lalu.
Wilayah Gyeongsang Selatan turut merekodkan peningkatan, dengan 25 kematian berbanding 20 kes pada 2024, iaitu naik 25 peratus.
Namun, wilayah Gyeonggi yang mempunyai jumlah pelajar terbesar merekodkan 51 kematian, turun daripada 63 kes pada 2024. Jumlah itu merupakan yang terendah di wilayah berkenaan sejak 2021.
Data itu turut menyenaraikan masalah keluarga sebagai faktor penyumbang yang dilaporkan dalam 77 kes, diikuti masalah kesihatan mental sebanyak 58 kes, kebimbangan berkaitan akademik dan kerjaya sebanyak 54 kes serta masalah hubungan dengan orang lain dalam 38 kes.
Faktor utama penyumbang tidak dapat dikenal pasti dalam 79 kes. Lebih daripada satu faktor boleh direkodkan bagi setiap kematian.
Jun lalu, kerajaan mengumumkan strategi pencegahan bunuh diri remaja di seluruh negara dengan sasaran mengurangkan kadar bunuh diri dalam kumpulan umur berkenaan kira-kira separuh menjelang 2035.
“Semua pihak termasuk Kementerian Pendidikan, pejabat pendidikan metropolitan dan wilayah, pejabat pendidikan daerah serta sekolah perlu memainkan peranan untuk mencegah kanak-kanak mengambil nyawa sendiri.
“Kita perlu memperkukuh dasar berkaitan, termasuk program sokongan kesihatan mental pelajar yang sedang dilaksanakan,” kata Mon-soo.










