PETALING JAYA: Kerjaya Prospek Group Berhad (Kerjaya Prospek) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Kerjaya Prospek (M) Sdn. Bhd., meraih kontrak bernilai RM37.82 juta bagi kerja-kerja penanaman cerucuk dan substruktur di Pulau Andaman, Pulau Pinang.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, surat itu diterima daripada Persada Mentari Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat tidak langsung Eastern & Oriental Berhad (E&O).
Projek berkenaan melibatkan pelaksanaan dan penyiapan kerja-kerja substruktur bagi cadangan pembangunan satu blok pangsapuri mampu milik 38 tingkat yang mengandungi 922 unit di Bandar Tanjung Pinang, Daerah Timur Laut.
Menurut Kerjaya Prospek, kerja-kerja pembinaan dijadualkan bermula pada 1 Oktober 2026 dan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.
“Penerimaan kontrak ini berada dalam perjalanan biasa perniagaan kumpulan dan dijangka menyediakan aliran pendapatan tambahan bagi tempoh dua tahun akan datang.
“Langkah ini turut memperkukuh nilai tempahan sedia ada serta memberi sumbangan positif kepada perolehan dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 2026 hingga 2028,” katanya.
Pembangunan tersebut turut merangkumi ruang kemudahan, tempat letak kereta serta sebuah pencawang pembahagian utama Tenaga Nasional Berhad.
Kontrak berkenaan dianggap sebagai Urus Niaga Pihak Berkaitan Berulang (RRPT) berikutan beberapa pengarah dan pemegang saham utama Kerjaya Prospek, termasuk Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebasnya, Datuk Seri Tee Eng Ho, mempunyai kepentingan langsung dan tidak langsung dalam E&O. –UTUSAN










