PETALING JAYA: Saham United Asiapac Energy Berhad (United Asiapac Energy) dibuka pada harga 35 sen sesaham dalam kemunculan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia, sebelum susut 1.5 sen daripada harga tawaran awam permulaan (IPO).
Pada pukul 9.05 pagi, kaunter syarikat penyedia penyelesaian intervensi telaga minyak dan gas (O&G) itu didagangkan pada paras 33.5 sen dengan sebanyak 6.25 juta saham bertukar tangan.
Berdasarkan modal terbitan yang diperbesarkan sebanyak 550 juta saham pada harga IPO 35 sen sesaham, pemodalan pasaran syarikat dianggarkan mencecah RM192.5 juta.
Penyenaraian syarikat itu sebelum ini mengalami penangguhan sekitar sebulan daripada jadual asal pada 19 Ogos lalu menyusuli terbitan prospektus tambahan bagi memperincikan kontrak baharu yang diraih, bagaimanapun garis masa baharu tersebut tidak menjejaskan rancangan pertumbuhan jangka panjangnya.
Pengarah Urusan United Asiapac Energy, Ahmad Fadzuli Ali berkata, penyenaraian berkenaan menandakan langkah penting bagi memperkukuh peranan syarikat sebagai penyedia perkhidmatan intervensi telaga tempatan.
“Kemudahan operasi kami di Kemaman dan Labuan memberi kelebihan dari segi kecekapan mobilisasi berbanding pesaing antarabangsa, di samping disokong oleh permintaan tinggi terhadap integriti telaga dan kerja-kerja penutupan serta pengabaian (P&A).
“Permintaan ini dipacu oleh keperluan keselamatan dan pengawalseliaan berbanding kitaran harga minyak, sekali gus memberikan asas perniagaan yang berdaya tahan menerusi rekod pencapaian lebih 200 projek sejak 2021,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sambutan menggalakkan terhadap terbitan runcit IPO yang mencatatkan kadar langganan berlebihan 21.02 kali ganda itu berjaya mengumpul dana sebanyak RM47.83 juta untuk membiayai fasa pertumbuhan seterusnya.
Daripada jumlah perolehan tersebut, syarikat memperuntukkan sebanyak 47.74 peratus bagi membiayai pembelian peralatan dan alatan intervensi telaga, 11.29 peratus untuk pengambilalihan pejabat korporat baharu dan 10.83 peratus bagi perluasan tenaga kerja.
Sebanyak 5.83 peratus lagi diperuntukkan untuk pembayaran balik pinjaman bank, 4.93 peratus bagi pengambilan jurutera baharu, manakala baki selebihnya dimanfaatkan untuk modal kerja serta perbelanjaan berkaitan penyenaraian.
Syarikat itu menawarkan perkhidmatan merangkumi pemulihan peralatan terperangkap (fishing), penutupan telaga matang (P&A), serta kerja-kerja sidetracking bagi mengoptimumkan pengeluaran hidrokarbon secara selamat.
TA Securities Holdings Berhad bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penjamin Terbitan dan Ejen Penempatan bagi senaman IPO berkenaan. –UTUSAN










