KAMPALA: Beribu orang berkumpul di Uganda pada Sabtu untuk memberikan penghormatan terakhir kepada seorang raja yang termuda di dunia.
Raja Oyo Nyimba Kabamba Iguru Rukidi IV, yang menaiki takhta pada usia tiga tahun dan memerintah Kerajaan Tooro di negara Afrika itu selama 31 tahun, meninggal dunia baru-baru ini pada usia 34 tahun ketika menjalani rawatan kanser di Amerika Syarikat (AS).
Guinness World Records mengiktirafnya sebagai raja termuda yang sedang memerintah di dunia.
Kematian Raja Oyo mencetuskan pertikaian sengit mengenai penggantian takhta, dengan ibunya mendakwa bahawa beliau dan anggota keluarga diraja lain dikenakan tahanan di rumah.
Jawatankuasa pemilihan daripada puak diraja Babiito mengumumkan pada Rabu bahawa Putera Edward Rukidi Kijanangoma, pembaca berita penyiar awam UBC, dipilih untuk menggantikan sepupunya sebagai raja.
Bagaimanapun, keputusan itu ditentang adik mendiang raja, Puteri Ruth Komuntale.
Beliau mengemukakan wasiat yang menurutnya disediakan pada 2022. Wasiat itu menamakan anak kandung lelakinya sebagai pewaris, tanpa mendedahkan namanya.
Perkara itu mengejutkan ramai anggota elit Tooro, yang tidak pernah mendengar mengenai anak berkenaan dan tidak memasukkan namanya dalam undian penggantian takhta.
Uganda ialah sebuah republik tetapi secara rasmi mengiktiraf empat kerajaan tradisional, yang berperanan terutama sebagai institusi kebudayaan dengan kuasa politik terhad. – AFP










