Maresca pikat hati penyokong City

Maresca pikat hati penyokong City

ERLING Haaland meraikan gol jaringannya ketika berdepan Manchester United, semalam.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Enzo Maresca disanjung peminat Manchester City selepas ‘lulus ujian’ selepas mengutip tiga mata penuh dalam pertembungan dengan Manchester United di Old Trafford, semalam.

Pengurus baharu City itu memulakan tugas dengan penuh bergaya apabila anak buahnya yang beraksi dengan 10 pemain berjaya menewaskan The Red Devils 1-0 dalam seteru setempat Manchester.

Maresca berlari ke tepi padang untuk meraikan kemenangan bersama penyokong City selepas menyedari betapa pentingnya kejayaan itu dalam penampilan sulungnya pada aksi tetangga berkenaan.

Terdahulu tugas City nampak sukar selepas Phil Foden dilayangkan kad merah pada minit ke-23, namun skuad kendalian Maresca bangkit menghadapi cabaran berkenaan.

Kemenangan City hasil ‘tuah’ daripada satu keputusan kontroversi apabila jaringan kemenangan Erling Haaland disahkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) yang panjang.

Maresca berkata, beliau berjaya memenangi pertarungan taktikal dengan pengendali United, Michael Carrick apabila tuan rumah gagal memanfaatkan ruang untuk melakukan serangan balas.

“Saya fikir perlawanan menjadi lebih sukar untuk kami dengan 10 pemain tetapi pada masa sama keadaan itu turut menyukarkan mereka.

“Mereka pasukan yang gemar melakukan transisi dan menggunakan ruang di belakang pertahanan. Dengan 10 pemain, kami hanya berundur dan menunggu mereka, jadi kami tidak membenarkan sebarang serangan transisi atau ruang di belakang pertahanan,” katanya.

Kemenangan itu meneruskan permulaan cemerlang Maresca selepas ramai menjangkakan City berdepan musim sukar susulan pemergian Pep Guardiola yang meninggalkan kelab itu selepas sedekad sarat dengan trofi.

Selepas dibelasah Arsenal 0-3 dalam Perisai Komuniti, City bangkit dengan empat kemenangan berturut-turut untuk terus mengekori The Gunners di tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).

Perkembangan awal musim menunjukkan aktiviti pembelian City memberikan Maresca barisan pemain yang cukup berkualiti bagi memastikan keupayaan pasukan tidak merosot selepas era Guardiola. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×