Kesilapan pengadil rugikan Man. United

Kesilapan pengadil rugikan Man. United

PENGADIL membuat kesilapan mengiktiraf gol jaringan Erling Haaland ketika Manchester United berdepan Manchester City, semalam-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Michael Carrick menyifatkan pengadil membuat kesilapan besar ketika membenarkan jaringan Erling Haaland untuk Manchester City menang 1-0 di Old Trafford, semalam.

Gol tunggal perlawanan itu pada awalnya dibatalkan kerana ofsaid, namun keputusan berkenaan ditukar selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) yang mengambil masa agak lama.

Enzo Fernandez berada pada kedudukan offside ketika cuba menanduk bola sebelum ia sampai kepada Haaland, tetapi pemain Argentina itu dianggap tidak mengganggu permainan.

“Ia merisaukan jika begini keadaannya, jika begitulah cara permainan ini dilihat oleh mereka yang mengadilinya. Saya benar-benar tidak faham, saya tidak boleh faham fikiran mereka,” kata Carrick.

Sementara itu, Lisandro Martinez yang berada dalam situasi kontroversi itu berkata, dia jelas terkesan dengan kehadiran Fernandez dan menganggap gol City itu sebagai satu ketidakadilan.

“Saya pergi ke arahnya kerana dia berada di hadapan saya. Sebab itulah Haaland bebas di belakang. Lima atau enam pengadil melakukan kesilapan sebegini dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Kami pulang ke rumah membawa ketidakadilan ini,” katanya.

United hanya mengumpul empat mata daripada empat perlawanan pembukaan liga, menyebabkan mereka sudah ketinggalan lapan mata di belakang juara bertahan Arsenal serta City.

Selepas aksi Piala Liga menentang Brighton dan kunjungan ke Fulham hujung minggu depan, Carrick bakal berdepan rehat antarabangsa selama tiga minggu untuk menilai semula permulaan hambar ini.

Dalam pada itu, Badan Pengadil Profesional (Pro Ref) dalam kenyataan selepas perlawanan mengakui keputusan membenarkan gol kemenangan City adalah satu ‘kesilapan penilaian’.

Selepas gol itu menjadi perdebatan peminat, Pro Ref tampil mengesahkan VAR ‘gagal mengenal pasti impak berkemungkinan’ daripada kedudukan Fernandez dan ‘sepatutnya mencadangkan semakan di padang (on-field review)’.

“Pihak kami sudah menghubungi Manchester United malam ini bagi mengakui apa yang dinilai sebagai kesilapan penilaian. Semakan terhadap insiden itu akan dijalankan,” menurut kenyataan itu.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×