TEHERAN: Sebuah kapal dilaporkan dilanda serangan di Selat Hormuz pada Ahad, mengorbankan seorang dan mencederakan tiga yang lain, menurut pihak berkuasa tempatan Iran.
Serangan berlaku ketika Teheran dan Washington bertelagah mengenai laluan perairan strategik itu.
“Sebuah kapal dagang dilanda serangan kira-kira jam 5 pagi (waktu tempatam) hari ini di perairan berhampiran pesisir pulau Hengam dan Qeshm. Seorang maut manakala tiga lagi cedera,” kata Gabenor bandar Qeshm, Amir Teymouri, menurut televisyen kerajaan, tanpa menjelaskan punca serangan.
Beberapa letupan dilaporkan berlaku sepanjang malam di sekitar Qeshm, pulau terbesar di Selat Hormuz.
Badan pemantau, United Kingdom Maritime Trade Operations kemudian berkata, pihaknya menerima laporan mengenai sebuah kapal dilanda objek tidak dikenali ketika belayar melalui Selat Hormuz.
“Kebakaran tercetus di atas kapal susulan serangan yang dilaporkan. Pihak berkuasa tempatan berada di lokasi dan membantu memindahkan anak kapal,” katanya, tanpa memberikan butiran lanjut mengenai serangan itu.
Kejadian itu berlaku sehari sebelum pertemuan antara Iran dan negara-negara Teluk di Oman, yang turut bersempadan dengan selat berkenaan, bagi membincangkan laluan yang disekat serta penting kepada perdagangan minyak serta gas global.
Kawalan ke atas selat itu menjadi titik panas utama dalam konflik antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) sepanjang perang yang memasuki bulan keenam.
Sebagai tindak balas terhadap serangan AS dan Israel yang mencetuskan perang pada 28 Februari, Iran telah menyekat laluan perairan itu, yang sebelum ini bebas dan tidak terhalang sebelum konflik tercetus. – AFP









