PETALING JAYA: Lebih 300 jenis barangan keperluan harian pada harga lebih rendah berbanding pasaran antara tarikan utama yang bakal ditawarkan kepada pengunjung Festival Jom Malaysia 2026 di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang dari 17 hingga 20 September ini.
Festival selama empat hari itu turut menghimpunkan lebih 200 usahawan dari seluruh negara yang menampilkan pelbagai produk dan jenama tempatan kepada pengunjung.
Dianjurkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), festival berkenaan merupakan antara inisiatif utama kementerian dalam memperkenalkan wajah baharu Jom Beli Produk Malaysia sebagai satu Gerakan Nasional yang lebih moden, inklusif dan dekat dengan rakyat.
Penganjuran itu bukan sekadar memberi ruang kepada usahawan memasarkan produk, sebaliknya menjadi platform yang menghubungkan pengguna, usahawan, industri, peruncit, rakan strategik dan kerajaan dalam satu ekosistem yang saling menyokong.
Menerusi Jualan RAHMAH MADANI, pengunjung boleh mendapatkan lebih 300 jenis barangan keperluan harian termasuk beras, minyak masak, telur, barangan dapur, makanan basah dan produk penjagaan diri pada harga lebih rendah berbanding pasaran setempat.
Paling menarik adalah sesi “Happy Hour” yang menawarkan diskaun luar biasa pada barangan tertentu yang pastinya dinanti semua pengunjung.

Selain membeli-belah, festival itu menawarkan pengisian untuk semua peringkat umur membabitkan sukan, rekreasi, seni, makanan, pertandingan dan hiburan sepanjang empat hari penganjuran.
Bagi golongan belia dan pengunjung yang gemarkan aktiviti aktif, antara tarikan disediakan termasuk pickleball, e-Sukan dan Explorace.
Turut diadakan pertandingan fotografi dan videografi serta TikTok Jom Malaysia Challenge, selain Battle of the Buskers, JOM Mic On!, muzikal berkumpulan dan persembahan nasyid.
Keluarga dan kanak-kanak pula boleh menyertai pelbagai aktiviti kreatif termasuk Splash Painting, Clay Art, Resin-Art dan Messy & Sensory Arts Kids.
Aktiviti lain termasuk dry clay art, lukisan batik, seni dan kraf serta aktiviti manik atau beading yang sesuai untuk penyertaan keluarga.
Pengunjung juga boleh menghidupkan semula permainan tradisional seperti baling tin, terompah gergasi dan tarik upih.
Turut disediakan kemudahan gunting rambut percuma untuk pelajar sekolah sebagai sebahagian daripada inisiatif khidmat komuniti.
Bagi penggemar makanan, Pentas Mini Jom Makan menawarkan pelbagai pertandingan termasuk Burger Malaysia, Char Kuey Teow, Nasi Goreng Kampung, Teh Tarik dan Juara Makan.
Pertandingan Masterchef dan Dekorasi Kek turut disediakan, selain aktiviti Aerodance, Angkat Beras dan Rangoli.
Kemeriahan festival diteruskan pada sebelah malam menerusi siri persembahan dan konsert yang menghimpunkan barisan artis serta pemuzik tempatan.
Antara pengisian utama ialah Konsert Legenda Jom Malaysia, Konsert Jom Malaysia dan Konsert Jom Malaysia Indie Vibes.
Turut menjadi tarikan ialah aktiviti Hot Air Balloon yang memberi peluang kepada pengunjung menikmati pengalaman berbeza sepanjang festival berlangsung.
Selain itu, Larian Kita Pengguna @JOMMY Penang 2026 akan berlangsung pada 19 September di pekarangan Stadium Batu Kawan.
Larian berkenaan membabitkan kategori 3KM Fun Walk dan 5KM Fun Run, sekali gus membuka peluang kepada pelbagai peringkat umur untuk mengambil bahagian.
Festival itu turut menyediakan cabutan bertuah serta pelbagai persembahan pentas dan aktiviti interaktif sepanjang empat hari penganjuran.

Dalam pada itu, Festival Jom Malaysia 2026 turut digabungkan dengan Festival Pengguna (CONFEST) 2026 yang memberi penekanan kepada kesedaran hak pengguna, penggunaan bertanggungjawab dan pembentukan pengguna yang lebih bijak.
Antara pengisian CONFEST ialah Bicara Berirama Kepenggunaan, Sketsa Kepenggunaan dan Battle of The Band Kepenggunaan yang membabitkan peserta sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.
Turut diadakan pertandingan Boria Kepenggunaan Pulau Pinang, selain pertandingan mewarna dan melukis Doodle.
Pengunjung juga boleh mendapatkan maklumat berkaitan hak pengguna menerusi kaunter aduan EzAdu, pameran Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dan promosi Dasar Pengguna Negara 2.0.
Gabungan Festival Jom Malaysia dan CONFEST itu memberi penekanan kepada dua aspek iaitu memperkasa usahawan dan pengguna menerusi pengalaman yang lebih dekat serta interaktif.
Melalui Jom Malaysia 2026, orang ramai digalakkan bukan sekadar membeli produk tempatan, sebaliknya mengenali, mencuba, menilai dan membina keyakinan terhadap produk buatan Malaysia.
Jom Beli Produk Malaysia atau JOM MALAYSIA merupakan transformasi kepada Kempen Beli Barangan Malaysia yang telah dilaksanakan lebih empat dekad.
Transformasi itu bukan sekadar membabitkan perubahan nama dan logo, sebaliknya bertujuan mengubah cara masyarakat melihat produk Malaysia dengan menjadikannya sebahagian daripada budaya dan amalan rakyat.
Konsep JOM MALAYSIA digerakkan menerusi empat teras utama iaitu Gerakan Nasional, pendekatan Whole-of-Nation, keterangkuman produk tempatan dan perluasan pasaran.
Pendekatan itu turut merangkumi produk serta perkhidmatan daripada pelbagai sektor seperti makanan dan minuman, kesihatan, kecantikan, fesyen, pendidikan, teknologi, industri kreatif dan gaya hidup.

Pada masa sama, JOM MALAYSIA memberi penekanan kepada usaha membawa produk tempatan daripada pasaran domestik ke peringkat antarabangsa menerusi konsep ‘Local to Global’.
Pulau Pinang dipilih sebagai lokasi penganjuran kerana negeri itu mempunyai ekosistem ekonomi dan keusahawanan yang dinamik, selain kaya dengan budaya, warisan, kreativiti, makanan serta pelbagai produk dan jenama tempatan.
Kedudukan Pulau Pinang sebagai antara destinasi pilihan pelancong dalam dan luar negara turut dimanfaatkan bagi meningkatkan keterlihatan produk tempatan kepada pasaran lebih luas.
Festival itu juga memberi peluang kepada usahawan dari Pulau Pinang dan seluruh negara untuk berinteraksi secara terus dengan pengguna, memperkenalkan jenama serta membina jaringan perniagaan baharu.
Ia merupakan kesinambungan siri pelaksanaan Jom Beli Produk Malaysia sepanjang tahun ini, termasuk Program Inspirasi Beli Barangan Malaysia di Kota Kinabalu, Festival Jom Malaysia x Pesta Kita di Pasar Seni, Kuala Lumpur dan program di Sandakan.
Sepanjang empat hari penganjuran, pengunjung bukan sahaja berpeluang meneroka produk dan jenama tempatan daripada lebih 200 usahawan, malah boleh menikmati Jualan RAHMAH MADANI, aktiviti keluarga, pertandingan makanan, pickleball, e-Sukan, aktiviti seni, cabutan bertuah, persembahan pentas, konsert dan aktiviti kepenggunaan.
Penganjuran itu sekali gus menggabungkan elemen membeli-belah, sukan, rekreasi, makanan, seni, hiburan dan pendidikan kepenggunaan dalam satu lokasi untuk dinikmati seisi keluarga.
Orang ramai khususnya dari Pulau Pinang dan negeri berdekatan boleh hadir ke Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan dari 17 hingga 20 September ini kerana kemasukan ke festival adalah percuma.
Penganjuran itu juga menjadi peluang kepada masyarakat menyokong usahawan tempatan pada masa sama memilih produk berdasarkan kualiti, inovasi, harga serta nilai yang ditawarkan.
Pilihan pengguna terhadap produk tempatan bukan sahaja memberi manfaat kepada usahawan, malah membantu menggerakkan rantaian bekalan, mewujudkan peluang pekerjaan dan merancakkan ekonomi domestik.
Justeru, Festival Jom Malaysia 2026 bukan sekadar medan jualan, sebaliknya ruang mempertemukan pengguna dan usahawan dalam usaha membina keyakinan terhadap produk serta jenama Malaysia.-UTUSAN










