Tinggalkan zon selesa, resipi keluarga jadi taruhan

Tinggalkan zon selesa, resipi keluarga jadi taruhan

MOHAMAD Yusof Mohd. Surid menunjukkan produk yang dikeluarkan oleh Angku Trading.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA dengan impian me­miliki produk dan jenama sendiri sejak zaman universiti, Mohamad Yusof Mohd. Surid akhirnya berani meninggalkan zon selesa untuk membina perniagaan makanan yang bukan sekadar mengejar keuntungan, sebaliknya membawa kisah keluarganya ke pasaran.

Bagi usahawan dari Seremban, Negeri Sembilan setiap produk yang dihasilkan menerusi Angku Trading mempunyai cerita tersendiri kerana ia diinspirasikan daripada makanan terbaik dalam keluarga sendiri dan keluarga mentuanya.

Malah, nama produk turut diambil bersempena nama ahli keluarga yang menjadi sebahagian daripada kisah di sebalik makanan berkenaan.

“Bagi kami, makanan Angku Trading bukan sekadar makanan, tetapi warisan.

“Kami mahu membawa keluar menu-menu terbaik daripada keluarga besar kami supaya lebih ramai orang dapat mengenali makanan yang mempunyai nilai dan cerita tersendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Berbekalkan ijazah dalam bidang Komunikasi Massa dari Universiti Teknologi Malaysia (UiTM), Mohamad Yusof terlebih dahulu membina kerjaya dalam bidang produksi dan acara sebelum menjadi konsultan serta pengurus sebuah galeri persendirian di Johor Bahru.

Namun, impian untuk mempunyai produk sendiri yang disimpan sejak zaman universiti terus bermain di fikirannya.

“Memiliki produk dan jenama sendiri memang impian saya sejak zaman universiti. Tetapi untuk merealisasikannya bukan sesuatu yang mudah kerana banyak perkara perlu difikirkan.

“Malah, keberanian untuk memulakan langkah semakin kukuh selepas beliau banyak bergaul dengan kelompok ahli perniagaan yang telah berjaya.

“Pengalaman dan perkongsian daripada mereka sedikit sebanyak membuka ruang untuk beliau melihat bidang keusahawanan daripada perspektif berbeza,” katanya.

Angku Trading didaftarkan secara rasmi pada pertengahan 2023, namun, mengambil masa sepanjang 2024 untuk membina asas perniagaan sebelum memasuki pasaran pada awal 2025.

Tempoh tersebut digunakan untuk membangunkan bengkel, mendapatkan pensijilan halal serta menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk.

Mohamad Yusof mengakui, sepanjang proses itu, dia tidak terlepas daripada perasaan ragu-ragu terhadap kemampuan sendiri.

“Pada awalnya memang ada rasa ragu-ragu sama ada kami sudah bersedia dan mampu atau tidak.

“Tetapi saya percaya permintaan terhadap makanan, terutama makanan halal, sentiasa mempunyai pasaran. Sokongan isteri dan keluarga juga menjadi antara sebab saya teruskan,” katanya.

Seperti kebanyakan usahawan baharu, Mohamad Yusof turut berdepan dengan realiti perniagaan yang tidak pernah dipelajarinya secara teori.

“Antara cabaran terbesar yang dihadapi adalah menetapkan harga produk dan mengurus kewangan,” katanya.

Katanya, walaupun dia dan isteri merasakan latar belakang mereka mampu membantu mengendalikan aspek berkenaan, pengalaman sebenar dalam perniagaan membuktikan sebaliknya.

“Pernah berlaku jualan nampak baik tetapi duit dalam akaun tidak kelihatan. Ketika itu kami sedar ada sesuatu yang tidak kena.

“Kami buang ego dan mula belajar pengurusan kewangan yang sebenar. Alhamdulillah, selepas memperbaiki cara kami mengurus kewangan, perubahan ketara dapat dilihat,” katanya.

Kini, hampir dua tahun beroperasi secara rasmi, Angku Trading menunjukkan perkembangan positif dengan permintaan pelanggan yang menggalakkan.

Pada 2025, syarikat itu merekodkan hasil jualan lebih RM60,000 dan menyasarkan peningkatan sebanyak 50 peratus tahun ini.

Antara produk yang ditawarkan ketika ini ialah Daging Dendeng Ibu Gayah pada harga RM23 bagi 200 gram dan Serunding Bilis Uwan pada harga RM15.90 bagi 120 gram.

Sementara itu, produk terbaharu, Kuah Kacang Belimbing, kini masih dalam proses mendapatkan pensijilan halal.

Mengulas lanjut, walaupun mempunyai cita-cita untuk membawa produk ke pasaran antarabangsa, Mohamad Yusof memilih untuk tidak terburu-buru.

“Angku Trading masih terlalu baharu dan banyak perkara perlu diperhalusi sebelum melangkah ke peringkat eksport.

“Memang ada impian untuk ke luar negara tetapi mengeksport bukan perkara mudah. Banyak persediaan yang perlu dibuat.

“Buat masa ini kami mahu kukuhkan segmen pasaran yang ada dahulu. Saya percaya walaupun perlahan tetapi konsisten, ia akan membawa kepada kejayaan satu hari nanti,” katanya.

Dalam industri makanan yang sarat dengan persaingan, Yusof percaya kekuatan Angku Trading terletak pada satu perkara yang paling asas iaitu rasa.

“Persaingan merupakan satu kepastian dalam setiap perniagaan, lebih-lebih lagi dalam industri makanan.

“Tetapi kami percaya   dan yakin mengekalkan rasa setiap produk buat kami berada pada landasan yang betul,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×