Cara membahagikan pendapatan setiap bulan

Cara membahagikan pendapatan setiap bulan

PERBELANJAAN gaya hidup diletakkan selepas keperluan asas, simpanan dan komitmen utama dipenuhi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGURUSKAN pendapatan bukan sekadar memastikan semua bil dibayar pada hujung bulan, sebaliknya memerlukan perancangan supaya setiap ringgit yang diterima dapat dibahagikan dengan baik.

Pembahagian yang teratur penting supaya pendapatan dapat menampung keperluan semasa, mengurangkan tekanan hutang dan pada masa sama membina simpanan untuk keperluan akan datang.

Pendapatan bulanan boleh dibahagikan kepada empat bahagian utama iaitu keperluan asas, simpanan, komitmen hutang dan kehendak.

Minggu ini, Ringgit berkongsi panduan untuk menguruskan pendapatan anda supaya lebih berhemat dan ada ruang untuk simpanan masa depan.

  1. Keperluan asas sekitar 50 peratus

Bahagian terbesar pendapatan biasanya diperuntukkan kepada keperluan yang perlu dibayar setiap bulan.

Ini termasuk makanan, sewa atau ansuran rumah, pengangkutan, bil utiliti, telefon, internet, barangan dapur, keperluan penjagaan diri dan perbelanjaan asas keluarga.

Bagaimanapun, angka 50 peratus bukan kadar tetap untuk semua orang. Mereka yang tinggal di kawasan dengan kos perumahan tinggi atau mempunyai tanggungan lebih ramai mungkin perlu memperuntukkan bahagian yang lebih besar.

Prinsip utamanya ialah bezakan keperluan dengan kehendak. Perbelanjaan yang perlu untuk meneruskan kehidupan dan pekerjaan perlu didahulukan sebelum perbelanjaan gaya hidup.

  1. Simpanan dan dana kecemasan sekitar 20 peratus

Simpanan tidak sepatutnya hanya dilakukan apabila terdapat lebihan wang pada hujung bulan. Sebaliknya, ia perlu dianggap sebagai sebahagian daripada perbelanjaan wajib.

Sebahagian pendapatan bo­leh digunakan untuk membina dana kecemasan bagi menghadapi kehilangan pekerjaan, kecemasan kesihatan, kerosakan kenderaan atau perbelanjaan tidak dijangka.

Selepas dana kecemasan mencukupi, simpanan boleh disalurkan kepada matlamat jangka sederhana dan panjang termasuk persaraan, pendidikan anak, pembelian rumah atau pelaburan.

  1. Hutang dan komitmen kewangan sekitar 20 peratus

Bayaran pinjaman rumah, kenderaan, pendidikan, kad kredit dan komitmen hutang lain perlu dimasukkan dalam perancangan bulanan.

Jika komitmen hutang mengambil bahagian terlalu besar daripada pendapatan, ruang untuk menyimpan dan memenuhi keperluan lain akan menjadi semakin sempit.

Bagi mereka yang mempunyai hutang, lebihan wang juga boleh digunakan untuk me­ngurangkan hutang berkadar faedah tinggi terlebih dahulu, sekali gus mengurangkan jumlah faedah yang perlu dibayar dalam jangka panjang.

  1. Kehendak dan gaya hidup sekitar 10 peratus

Perbelanjaan untuk makan di luar, hiburan, membeli-belah, langganan digital, hobi dan percutian masih boleh dimasukkan dalam bajet.

Namun, perbelanjaan ini perlu datang selepas keperluan asas, simpanan dan komitmen utama dipenuhi.

Ini tidak bermakna seseorang perlu menghapuskan semua perbelanjaan untuk keseronokan. Sebaliknya, menetapkan had membantu memastikan gaya hidup tidak meningkat lebih cepat daripada pendapatan.

  1. Sesuaikan formula di atas mengikut keperluan peribadi

Pembahagian peratusan ini hanyalah panduan, bukannya formula yang wajib digunakan semua orang.

Keadaan kewangan setiap individu berbeza berdasarkan lokasi, status perkahwinan, bilangan tanggungan, kos perumahan, tahap hutang dan keperluan kesihatan.

Jika kos keperluan asas sudah mengambil bahagian yang besar, perbelanjaan kehendak mungkin perlu dikecilkan sementara waktu. Sebaliknya, apabila hutang semakin berkurangan atau pendapatan meningkat, lebihan tersebut boleh dialihkan kepada simpanan dan pelaburan.

  1. Semak dan sesuaikan bajet secara berkala

Pembahagian pendapatan ti­­dak semestinya kekal sama setiap bulan kerana keadaan kewangan boleh berubah mengikut peningkatan pendapatan, perubahan komitmen, pertambahan tanggungan atau perbelanjaan tidak dijangka. 

Oleh itu, bajet perlu disemak dari semasa ke semasa dengan memastikan simpanan dibuat terlebih dahulu, hutang dika­wal, perbelanjaan kehendak tidak berlebihan dan sebarang lebihan pendapatan dimanfaatkan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan.

Pada masa sama, apabila pendapatan meningkat, tidak semua tambahan itu perlu digunakan untuk meningkatkan gaya hidup. 

Sebahagiannya boleh disalurkan kepada simpanan kecemasan, pembayaran hutang atau simpanan jangka panjang supaya peningkatan pendapatan turut membawa kepada kedudukan kewangan yang lebih kukuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×