SEWAKTU menjejakkan kaki di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada hari pertama Perhimpunan Agung UMNO 2026, terkejut juga menyaksikan laluan pintu masuk sehinggalah ke dewan-dewan utama dipenuhi dengan kehadiran perwakilan-perwakilan parti dari seluruh negara.
Bukankah parti ini dikatakan sudah tidak relevan dalam politik negara? Bukankah parti ini dikatakan sudah kehilangan sokongan majoriti orang Melayu? Malah, ada yang pernah mengatakan parti ini akan terkubur tidak lama lagi.
Namun, perhimpunan parti ini langsung tidak menunjukkan tanda-tanda tersebut. Ahli-ahli partinya berkumpul beramai-ramai di ibu negara dan berpusu-pusu untuk menghadiri persidangan sayap masing-masing, sama ada pemuda, wanita dan puteri.
Perwakilan lelaki berpakaian baju Melayu putih bersampin merah manakala perwakilan wanita dengan baju kurung putih bertudung merah atau bertudung merah jambu.
Mereka berpakaian berwarna merah pada hari kedua dan mengenakan warna biru pada hari terakhir perhimpunan.
Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, lebih 6,000 perwakilan hadir dalam perhimpunan kali ini, tetapi kehadiran mereka ketika itu seolah-olah mereka sebenarnya lebih ramai daripada itu.
Kebanyakannya mengukirkan senyuman, mengambil gambar kenang-kenangan, suasananya tampak gembira dalam perhimpunan kali ini.
Sedangkan UMNO sedang terpalit dengan beberapa isu ketika ini seperti isu di Negeri Sembilan dan isu Tabung Haji melibatkan pemimpin parti seperti Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Kes-kes seperti ini sepatutnya boleh menjejaskan reputasi parti itu.
Sudah lebih lapan tahun sejak UMNO yang bertanding di bawah Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.
Sejak kekalahan itu, ramai pemimpin dan ahli-ahlinya meninggalkan parti. Ada yang sertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), ada yang menubuhkan parti baharu seperti Pejuang dan Warisan.
Malah, ada juga yang menyertai Pas dan PKR. Parti-parti di Sabah dan Sarawak juga meninggalkan BN dan menubuhkan gabungan baharu.
UMNO menjadi sekadar parti pembangkang ketika itu. Itu yang sampai ada yang menjangkakan parti itu akan terkubur.
Namun, krisis politik pada 2020 memberi peluang kepada UMNO untuk kembali berkuasa, bermula dengan kerjasama dengan Pas dan Bersatu, sebelum diberi peluang untuk memegang jawatan Perdana Menteri semula melalui Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor pada bulan Mac 2022 memberikan keyakinan kepada UMNO untuk membubarkan Parlimen lebih awal, iaitu pada bulan Oktober tahun yang sama, hanya beberapa hari selepas pembentangan Belanjawan 2023.
Ramai yang menjangkakan UMNO akan kembali berkuasa ketika itu. Jangkaan itu meleset sama sekali apabila BN hanya memenangi 30 kerusi Parlimen, jauh lebih sedikit daripada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
Tetapi BN tidak menjadi pembangkang seperti sebelum ini, sebaliknya bertindak membentuk kerajaan bersama-sama dengan PH, kerjasama yang tidak dijangka oleh ramai pihak disebabkan permusuhan antara UMNO dan DAP.
Kerjasama antara kedua-dua gabungan ini bermula dengan baik, apabila mengadakan kerjasama rasmi dalam pilihan raya di enam negeri, di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, kerjasama tersebut hanya menjurus kepada kemenangan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan manakala Kelantan, Terengganu dan Kedah kekal dikuasai oleh PN.
BN dan PH terus bekerjasama dan meraih kemenangan dalam beberapa pilihan raya kecil seperti di Simpang Jeram, Pelangai, Kuala Kubu Baharu, Mahkota, Nenggiri dan Ayer Kuning. Mereka hanya tewas di Sungai Bakap.
Di sebalik beberapa keputusan pilihan raya yang baik itu, UMNO membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan PH, bermula dengan PRN Sabah.
BN hanya memenangi enam kerusi dalam pilihan raya itu, tetapi mereka berpandangan bahawa pengundi Sabah sekadar menolak parti dari Semenanjung.
Jadi, pada bulan Julai yang lalu, mereka sekali lagi bertanding solo, kali ini di PRN Johor, dikatakan untuk menguji kekuatan sebelum PRU16.
Dengan sokongan daripada Pas, BN meraih kemenangan di 48 buah kerusi, menewaskan PH yang hanya meraih lapan kerusi.
Itu adalah titik perubahan buat UMNO. Kemenangan itu memberi keyakinan kepada UMNO untuk berdepan dengan PRU16.
Keyakinan itu ditambah lagi dengan kemenangan di Negeri Sembilan, apabila BN memenangi 25 kerusi berbanding PH yang hanya meraih 11 kerusi.
Kemenangan di Johor dan Negeri Sembilan seolah-olah cukup untuk mengembalikan keyakinan para perwakilan dan ahli-ahli UMNO bahawa parti mereka akan kembali memerintah tidak lama lagi.
Sebab itu, mereka senyum dan nampak gembira dalam perhimpunan agung kali ini. Mereka yakin momentum kemenangan itu akan diteruskan dalam PRN Melaka akan datang, selagi pengundi Melayu dan Pas akan terus menyokong mereka.
Mereka merasakan UMNO hanya menunggu masa untuk kembali berkuasa.
Tetapi mereka tidak boleh lupa bahawa mereka meraih kemenangan disebabkan PH kehilangan sokongan daripada pengundinya.
Mereka juga tidak boleh lupa bahawa keretakan kerjasama antara Pas dan Bersatu dalam PN juga menyebabkan pengundinya beralih arah dan secara tidak langsung menyumbang kepada kemenangan UMNO.
Dalam politik, parti tidak boleh terlalu terbuai-buai dengan kemenangan lalu. Itu hanya pilihan raya negeri. Sejarah sendiri menunjukkan memenangi pilihan raya negeri tidak bermakna parti itu akan memenangi pilihan raya umum.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sudah menyatakan tidak akan mengadakan PRU16 dalam masa terdekat.
Maknanya, banyak lagi perkara yang boleh berlaku dalam beberapa bulan akan datang. Sentimen pengundi boleh berubah bila-bila masa.
Jadi, janganlah belum bertanding lagi, sudah rasa diri itu sudah menang. – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










