KULAI: Pasangan kekasih ditahan susulan kejadian merempuh anggota polis dan Unit Ronda Bermotosikal (URB) di Jalan Kenari, Bandar Putra di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian itu, polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar kereta Perodua Myvi dinaiki pasangan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, anggota URB dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menahan kereta dinaiki suspek yang dalam keadaan mencurigakan pada pukul 1.20 pagi.
Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati kenderaan itu dinaiki seorang lelaki dan wanita tempatan.
“Semasa pemeriksaan hendak dijalankan, suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri dengan merempuh motosikal URB serta sebuah kenderaan awam jenis Mazda CX-5.
“Suspek juga cuba melanggar anggota polis di tempat kejadian. Anggota terbabit melepaskan satu das tembakan ke arah tayar Perodua Myvi bagi memberi amaran untuk memberhentikan kenderaan, namun suspek berjaya memecut melarikan diri,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Seng Lee, kejadian tersebut menyebabkan seorang anggota URB cedera ringan di kaki akibat tersepit selepas motosikalnya dirempuh kenderaan suspek.
Katanya, Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor yang menjalankan siasatan di lokasi menemukan serpihan anak peluru serta kelongsong.
“Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulai melancarkan operasi khas dan berjaya memberkas lelaki dan wanita masing-masing berusia 23 tahun dalam tempoh kurang 24 jam.
“Kedua-dua suspek ditahan secara berasingan di Bandar Putra dan Kluang antara pukul 11.30 pagi hingga 8.30 malam. Polis turut merampas sebuah alat kawalan jauh serta Perodua Myvi hitam dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya.
Tambahnya, ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka negatif dadah, manakala semakan mengesahkan tiada sebarang rekod jenayah lampau.
“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini bagi permohonan reman.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada penjawat awam serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya. – UTUSAN










