KPKT salur RM6.43 juta laksana kempen kesihatan persekitaran di 635 lokaliti PBT

KPKT salur RM6.43 juta laksana kempen kesihatan persekitaran di 635 lokaliti PBT

Kepemimpinan wanita
AIMAN ATHIRAH SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyalurkan RM6.427 juta bagi pelaksanaan Kempen Kesihatan Persekitaran di 635 lokaliti pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara dari 2021 hingga 2026.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, peruntukan menerusi Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) itu antara lain bagi menaik taraf kemudahan awam serta meningkatkan standard kebersihan dan kesihatan persekitaran komuniti.

“Aspek kesihatan persekitaran bukan sekadar berkaitan kebersihan, sebaliknya mempunyai kaitan langsung dengan kesihatan, keselamatan dan kualiti hidup rakyat.

“Justeru, usaha mewujudkan persekitaran yang bersih, sihat dan selamat memerlukan komitmen berterusan PBT serta kerjasama seluruh masyarakat dalam menjadikan kebersihan sebagai tanggungjawab bersama,” katanya.

Aiman Athirah berkata demikian semasa merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia (SHKPS) Peringkat Kebangsaan 2026 dan Majlis Penutup Konvensyen PBT 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata, untuk tahun ini, KPKT meningkatkan peruntukan pelaksanaan Kempen Kesihatan Persekitaran kepada RM1.06 juta berbanding RM860,000 pada tahun lepas menerusi peruntukan JKT dan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).

Peningkatan itu menurut beliau, mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkasakan keupayaan PBT melaksanakan program berimpak tinggi pada peringkat akar umbi.

Pada masa sama, beliau berkata, skop Kempen Kesihatan Persekitaran KPKT diperluas daripada enam kepada lapan subprogram tahun ini dengan penambahan Kempen Kawalan Infestasi Lalat dan Kempen Pasar Malam Bersih.

Enam kempen lagi ialah Kempen Cegah Wabak Denggi, Kempen Membasmi Infestasi Tikus, Kempen Premis Makanan Bersih, Kempen Pasar Awam Bersih, Kempen Tandas Awam PBT Bersih “BMW” (Bersih, Menawan, Wangi) dan Kempen Pengurusan Haiwan Terbiar.

Dalam pada itu, Aiman Athirah berkata, sebanyak sembilan PBT berjaya memperoleh penarafan lima bintang menerusi Program Penarafan Bintang Audit Teknikal (PBAT) Perkhidmatan Kesihatan Persekitaran PBT 2026.

Selain itu, sembilan PBT menerima Anugerah Transaksi Tanpa Tunai Tertinggi PBT 2026 mengikut tiga kategori iaitu bandaraya, perbandaran dan daerah manakala tiga PBT menerima Anugerah Peningkatan Transaksi Tanpa Tunai Tertinggi.

Program bertemakan “Sinergi MADANI, PBT Lestari, Persekitaran Harmoni” disertai semua 156 PBT dari seluruh negara sebagai usaha memperkukuh kerjasama dalam meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan serta mewujudkan persekitaran yang bersih, sihat, selamat dan lestari. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×