KOTA BHARU: Kementerian Kesihatan (KKM) menggerakkan beberapa langkah alternatif bagi memastikan keperluan kesihatan penduduk di kawasan pedalaman terus diberi perhatian, walaupun perkhidmatan doktor udara (PDF) digantung buat sementara waktu susulan nahas helikopter di Long Lellang, Sarawak.
Nahas pada Selasa lalu itu meragut lima nyawa termasuk empat petugas jabatan berkenaan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, ia melibatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Tentera Udara Malaysia (TUDM), Polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
“Semua itu telah saya sebutkan dalam kenyataan sebelum ini bahawa langkah-langkah dan pilihan ataupun alternatif-alternatif lain kita telah gerakkan.
“Ia menerusi perkhidmatan pemindahan perubatan kecemasan melalui udara (EMARS) di bawah JBPM, penerbangan ihsan dan pemindahan perubatan melalui udara (Medivac),” katanya selepas mengiringi jenazah Dr. Ainul Baraah Kamaruddin yang yang maut dalam nahas FDS di Masjid Al Karomah Baung, Pengkalan Chepa di sini, hari ini.
Dzulkefly berkata, kerajaan tidak boleh membiarkan perkhidmatan berkenaan terhenti terlalu lama namun aspek keselamatan penerbangan perlu diteliti dengan lebih rapi susulan tragedi tersebut.
Katanya, KKM sedang menantikan hasil siasatan pihak berkuasa sebelum menentukan langkah seterusnya bagi memperkukuh aspek keselamatan dan membolehkan perkhidmatan FDS disambung semula.
“Tujuh pasukan FDS KKM memberi perkhidmatan kepada kira-kira 14,000 hingga 15,000 penduduk kawasan pedalaman yang sukar dicapai melalui laluan biasa,” ujarnya.
Terdahulu, sebuah helikopter membawa lima penumpang termasuk juruterbang dilaporkan terhempas di kawasan Lapangan Terbang Long Lellang.
Kelima-lima mangsa ialah juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; Dr. Ainul Baraah, 33; Penolong Pegawai Perubatan, Adit Henry, 31, serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44. – UTUSAN










