KUALA LUMPUR: Penyanyi, Faizal Tahir, mendedahkan dia terpaksa merombak senarai asal 30 lagu yang dirancang untuk Konsert Suara Rakyat yang berlangsung pada Oktober ini selepas penerbit konsert, Jennifer Thompson, berpandangan jumlah tersebut terlalu banyak untuk dipersembahkan dalam tempoh yang ada.
Faizal atau Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 48, berkata, perubahan set senarai lagu itu sudah dilakukan sebanyak empat kali bagi memastikan pemilihan lagu memuaskan jangkaan penonton tanpa menjejaskan perjalanan persembahan tersebut.
Katanya, proses memilih lagu bukan sesuatu yang mudah memandangkan dia mempunyai lebih 30 lagu yang sesuai untuk dipersembahkan dalam konsert itu.
“Masa latihan baru-baru ini, kita tukar lagi untuk kali keempat. Lepas kita dah main semua lagu, kita kena duduk semula dengan Jennifer Thompson yang dah lama dengan saya.
“Dia tahu apa yang perlu, apa yang tak perlu, apa yang penonton akan jangka dan apa yang perlu supaya penonton tidak terlalu kecewa,” katanya.
Tambah Faizal, walaupun dia berlatih sekitar 30 lagu yang dikenal pasti untuk konsert itu, jumlah yang akhirnya dipersembahkan dijangka sekitar 27 lagu sahaja.
“Kalau nak ikutkan lebih daripada 30 lagu kalau saya nak persembahkan semua lagu saya. Tetapi dengan masa dan lagu yang terlalu banyak, memang ada lagu-lagu yang tak akan dapat dimasukkan dalam senarai.
“Cuma, dalam beberapa kali ubah itu, saya memang akan berlatih 30 lagu yang kita sudah kenal pasti. Tapi, dalam 30 lagu itu nanti mungkin kita akan buang tiga lagu,” ujarnya.
Faizal berkata, perubahan masih boleh berlaku sehingga tarikh konsert kerana pihak produksi sentiasa menilai idea baharu yang sesuai dimasukkan ke dalam persembahan.
“Saya duduk dengan pengurusan dan produksi, mereka kata adalah satu idea yang baik untuk saya nyanyikan lagu Aku Berjanji.
“Sekarang lagu itu dalam pertimbangan, jadi kita terpaksa keluarkan lagu lain. Pada awalnya memang tak ada lagu itu.
“Masa sebenarnya menjadi faktor, sebab kalau saya nak nyanyi 30 lagu itu, saya kena nyanyi terus tanpa bercakap dan tanpa berehat,” katanya.
Konsert Faizal Tahir: Suara Rakyat yang dijadualkan pada 3 Oktober 2026 di Unifi Arena merupakan sebuah konsert bersempena sambutan dua dekad perjalanan seninya dalam industri muzik di Malaysia.-UTUSAN










