Semudah itu label lagu sampah, sebelum menaip fikir dulu - Nabila Razali - Utusan Malaysia

Semudah itu label lagu sampah, sebelum menaip fikir dulu – Nabila Razali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Semudah itu melabel lagu sampah, tanpa fikir usaha dan penat lelah orang lain”

Demikian kata penyanyi Nabila Razali atau Nur Nabila Razali, 34, apabila seorang pengguna Threads melabelkan lagu solonya berjudul Pematah Hati dilabel sebagai lagu sampah.

Hantaran Nabila itu dipercayai merujuk kepada perkongsian seorang pengguna Threads yang menyatakan dia bersyukur tidak perlu mengharungi kesesakan jalan raya pada waktu pagi, sebelum menyifatkan lagu penyanyi itu sebagai lagu sampah yang tidak sanggup didengarnya ketika memandu.

“Seseorang mengambil tangkap layar dan menghantarnya kepada saya. Saya tidak marah, cuma kadang-kadang tidak semua perkara yang kita fikir itu betul.

“Jadi, sebelum membuka mulut dan menaip sesuatu, fikir dahulu,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.

Menurut Nabila, tindakan pengguna Threads yang mengeluarkan kata sewenang-wenangnya itu seolah-olah tidak menghiraukan usahanya dalam menghasilkan lagu tersebut.

“Mudah sahaja melabel ‘lagu sampah’, tanpa memikirkan usaha dan penat lelah orang lain. Tahniah juga kerana dimurahkan rezeki dengan cara kerja sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, Nabila turut mengingatkan bahawa seseorang mungkin merasakan dirinya tidak lagi perlu berdepan pembuli jalan raya tetapi tanpa disedari boleh menjadi pembuli kepada orang lain menerusi kata-kata.

“Tidak perlu berdepan pembuli jalan raya sekali lagi, tetapi tanpa sedar, kita juga membuli orang lain. Orang yang faham, fahamlah,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×