UMNO perlu jadi lebih ‘Guru’ daripada ‘Guru’

UMNO perlu jadi lebih ‘Guru’ daripada ‘Guru’

PERWAKILAN UMNO yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.-UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

 

LAUNGAN ‘Guru, cukup-cukup­lah guru’ yang bergema dalam Dewan Perhimpunan Agung UMNO 2026 membawa mesej politik yang lebih besar daripada sekadar luahan emosi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta akar umbi.

Walaupun nama siapa yang dimaksudkan sebagai ‘Guru’ tidak disebut dalam dewan, konteks laungan itu cukup untuk menggambarkan keresahan ahli UMNO terhadap beberapa perkara yang berlaku dalam kerajaan ketika ini.

Persoalannya, sampai bila UMNO mahu terus menjadi ‘murid’ dalam kerajaan sedangkan parti itu sendiri sudah mula bercakap mengenai keperluan kembali menerajui Putrajaya?

Laungan tersebut menunjukkan akar umbi UMNO semakin berani menyuarakan pendirian.

Mereka bukan lagi sekadar mahu parti mempertahankan kedudukan dalam kerajaan sebaliknya mahu UMNO mempunyai suara yang lebih kuat dalam menentukan hala tuju pentadbiran.

Namun, UMNO perlu lebih daripada sekadar bersuara. Jika parti itu yakin mampu melakukan lebih baik maka ia perlu membuktikannya melalui tawaran politik yang jelas dan penyelesaian terhadap masalah rakyat.

Kos sara hidup, harga barang, subsidi, pendapatan, keselamatan, keterjaminan makanan dan peluang pekerjaan antara isu yang perlu dijawab UMNO jika mahu meyakinkan rakyat untuk memberikan semula mandat.

Di sinilah UMNO perlu menjadi lebih ‘Guru’ daripada ‘Guru’. Jika mahu kembali menjadi pe­neraju kerajaan, parti itu perlu tampil sebagai pihak yang mempunyai jawapan, bukan hanya menjadi pengkritik kepada pihak yang sedang berkuasa.

Perhimpunan Agung UMNO kali ini memperlihatkan satu perkembangan menarik apabila suara tidak puas hati terhadap kerajaan semakin terbuka.

Ia menunjukkan sokongan akar umbi tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang akan kekal secara automatik.

Bagaimanapun, kemarahan sahaja tidak cukup untuk membawa UMNO kembali ke Putrajaya.

Parti itu perlu mengubah sentimen tersebut menjadi strategi politik yang tersusun termasuk menawarkan dasar yang boleh dirasai rakyat dan bukan sekadar slogan ketika perhimpunan.

Akhirnya, UMNO perlu berhenti menjadi ‘murid’ jika benar-benar mahu kembali menjadi ‘guru’.

Segala pengalaman sepanjang berada dalam kerajaan sepatutnya menjadikan parti itu lebih matang, lebih bersedia dan paling penting, mempunyai keberanian untuk menentukan sendiri masa depan politiknya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×