Houthi 'pegang' laluan eksport minyak Arab Saudi

Houthi ‘pegang’ laluan eksport minyak Arab Saudi

PENYOKONG Houthi berhimpun di Sanaa bagi membantah sekatan yang dikenakan pakatan diketuai Arab Saudi di kawasan dikuasai kumpulan itu di Yemen pada 17 Julai lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANAA: Kumpulan Houthi yang disokong Iran kini menguasai keseluruhan pantai Laut Merah Yemen selepas menawan tiga pulau strategik dalam serangan pantas kelmarin, sekali gus mengukuhkan kedudukannya di laluan perkapalan penting yang menghubungkan Eropah dan Asia.

Penguasaan itu dijangka meningkatkan lagi kesan perang di Asia Barat terhadap perdagangan antarabangsa, ketika Arab Saudi menutup saluran paip minyak susulan serangan dari wilayah Iraq, selain sekatan Iran ke atas Selat Hormuz yang berlarutan selama beberapa bulan.

Ia juga dijangka melumpuhkan rantaian bekalan melalui satu lagi koridor maritim utama dunia, sekali gus mencetuskan lonjakan mendadak harga minyak global. 

Houthi menawan pelabuhan Mokha pada Khamis sebelum menguasai Pulau Mayun di luar pantai Yemen dan Pulau Hanish Besar dan Hanish kecil pada Jumaat, menurut pegawai kerajaan Yemen.

Selat berkenaan sebelum ini menjadi laluan penting penghantaran minyak mentah Arab Saudi ke Asia selepas operasi perkapalan melalui Selat Hormuz dihadkan berikutan ancaman serangan Iran.

Namun, serangan Houthi terhadap kapal tangki Arab Saudi menyebabkan laluan alternatif berkenaan turut terjejas, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap eksport minyak negara itu.

Perkembangan tersebut kembali menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan perkapalan di Selat Bab al-Mandab, khususnya ketika laluan berkenaan semakin penting kepada penghantaran minyak serta barangan antara Asia dan Eropah.

Bagaimanapun, Houthi cuba meyakinkan syarikat perkapalan bahawa kapal yang tidak mempunyai kaitan dengan Arab Saudi masih selamat melalui selat berkenaan.

Ancaman Houthi memberi kesan besar terhadap eksport minyak Arab Saudi melalui Laut Merah apabila penghantaran minyak pada Ogos merosot daripada 3.8 juta tong sehari kepada 2.2 juta tong sehari, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).

Menurut Ketua Pengarang Lloyd’s List, Richard Meade, kemaraan Houthi tidak banyak mengubah keadaan buat masa ini kerana kapal yang mempunyai kaitan dengan Arab Saudi dan Israel sememangnya sudah berdepan risiko serangan tinggi.

Bagaimanapun, beliau berkata kedudukan Houthi yang semakin kuat menimbulkan kebimbangan kumpulan itu mungkin memperluaskan sasaran jika terus diserang.- AP/AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×