Jerebu dan suhu semakin panas yang sedang melanda negara dan dunia kini adalah ancaman kepada kesihatan bukan saja kepada manusia tetapi juga ke atas haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
Perubahan iklim ini bukanlah sekadar isu alam sekitar semata-mata. Sebenarnya ia adalah satu tragedi ke atas kesihatan yang amat serius di dalam abad ke-21 ini kerana suhu global yang meningkat menyebabkan bertambahnya wabak penyakit dan kematian berkaitan haba,
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia Sedunia (WHO), kematian akibat penyakit berkaitan haba meningkat sebanyak 23 peratus sejak 1990.
Dianggarkan lebih 500,000 kematian berlaku setiap tahun. Eropah adalah salah satu benua yang mengalami peningkatan suhu secara pantas dengan suhu daratan yang meningkat dua kali ganda purata suhu global.
Berdasarkan European Environmental Agency 2025,melaporkan purata suhu tahunan di daratan Eropah sudah meningkat antara 2.19 celsius hingga 2.26 celsius, berbanding tahap pra industri.
WHO 2026, melaporkan lebih daripada 25,000 orang meninggal dunia kerana penyakit berkaitan haba di seluruh Eropah disebabkan oleh siri gelombang haba ekstrem yang berterusan.
Pakar Kesihatan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Rozita Hod berkata, kematian biasanya disebabkan oleh penyakit kardiovaskular dan strok haba. Apa yang berlaku apabila suhu badan mencecah begitu tinggi sekali, badan kehilangan upaya untuk menyejukkan badan menggunakan mekanisme biasa.

“Ketika suhu badan mencecah 40 darjah celsius, jantung terpaksa bekerja dengan lebih keras. Ia berdenyut lebih pantas untuk mengalirkan darah ke permukaan kulit untuk menyejukkan badan.
“Apabila ini berlaku, aliran darah ke organ penting seperti otak, jantung, paru-paru dan buah pinggang tidak cukup oksigen. Jika berterusan tanpa rawatan secepat mungkin, kegagalan pelbagai organ akan berlaku dan mengakibatkan kematian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Syarahan Perdananya yang bertajuk, Perubahan Iklim Dan Kesan Ke Atas Kesihatan Manusia: Penularan Penyakit Berjangkit Dan Tidak Berjangkit di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), baru-baru ini. Turut hadir, Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Dr. Sufian Jusoh.
Dr. Rozita berkata, pencemaran udara akibat pembakaran bahan api fosil dan kebakaran hutan yang mengeluarkan gas rumah hijau dan molekul terampai, meningkatkan bilangan penyakit paru-paru seperti asma, bronkitis dan terdapat juga kaitan dengan penyakit jantung.
“Asap kebakaran hutan mengandungi toksid dan mengandungi zarah mikroskopik iaitu PM2. 5 yang mampu menembusi jauh ke dalam paru-paru dan masuk ke saluran darah. Pencemaran udara seperti jerebu, diiringi keadaan suhu yang tinggi, boleh menggalakkan pembentukan ozon yang boleh menyebabkan radang paru-paru.
“PM2. 5 itu adalah saiz zarah yang terampai berbanding sehelai rambut manusia yang biasanya berukuran 50 hingga 70 mikron. Zarah ini sangat halus dan apabila ia dihidu, melalui pernafasan, ia masuk ke dalam salur pernafasan dan paru-paru,” terangnya.
Katanya lagi, apabila PM2. 5 berada dalam darah, ia menghasilkan radikal bebas berbahaya yang menyebabkan kerosakan sel, keradangan sistemik, pengumpalan darah dan membentuk plak pada salur darah yang menyebabkan strok atau serangan jantung.
Tanda-tanda penyakit berkaitan haba
Dr. Rozita berkata, antara tanda-tanda mengalami penyakit berkaitan haba termasuklah kejang otot di kaki atau perut, lemah, pening kepala, sakit kepala dan loya.
“Mungkin ramai menyangka ia penyakit biasa disebabkan jerebu dan suhu panas tetapi kini dalam perubahan iklim, gejala ini perlu di beri perhatian. Pesakit yang mengalami strok haba, pertuturan mereka tidak jelas. Dalam keadaan lebih teruk, dia boleh muntah atau hilang kesedaran.
“Strok haba adalah satu keadaan perubatan kecemasan. Jadi, pesakit perlu dibawa segera ke hospital. Sebagai Pakar Kesihatan Awam, saya bimbang melihat ramai tidak memakai topeng muka dan berasa seperti biasa sedangkan kesihatan mereka sedang terancam,” katanya.
Katanya, golongan rentan perlu lebih berhati-hati seperti warga emas, bayi, kanak-kanak, ibu hamil, mereka yang menghidap kencing manis, darah tinggi, jantung, kegagalan buah pinggang atau makan ubat secara berpanjangan.
Selain itu, katanya, terdapat satu lagi golongan dikira berisiko tinggi iaitu mereka yang bekerja di luar bangunan seperti polis trafik dan pekerja pembinaan, terdedah dengan risiko strok haba. Begitu juga ahli sukan yang menjalani latihan di padang atau luar bangunan.
Risiko wabak denggi
Perubahan iklim juga menyebabkan perubahan corak taburan hujan dan panas. Wabak denggi berlaku akibat cuaca panas bersilih hujan. Apabila hujan, terdapat tempat pembiakan nyamuk seperti lopak air dan air yang terkumpul dalam bekas air terbiar seperti tin kosong,
“Peningkatan tempat pembiakan nyamuk ini menyebabkan peningkatan populasi nyamuk dewasa seperti nyamuk aedes, menyebabkan berlaku demam denggi. Kajian kami yang dijalankan pada 2025,membabitkan data dari negara di Asia Tenggara, mendapati gelombang haba meningkatkan risiko wabak denggi sebanyak dua kali ganda.
“Serangga seperti nyamuk, adalah berdarah sejuk. Oleh itu, apabila suhu meningkat, kitaran hidup nyamuk aedes, menjadi lebih pendek. Proses dari telur menjadi larva dan menjadi nyamuk dewasa mengambil masa tujuh hari, tetapi sekarang apabila cuaca semakin meningkat, ia menjadi lima hari. Jadi, pembiakan nyamuk aedes lebih cepat dan cekap,” jelasnya.
MENGURANGKAN KESAN PERUBAHAN IKLIM
Bagi mengurangkan pelepasan karbon dioksida dan gas-gas rumah hijau, disarankan menggunakan pengangkutan awam, kenderaan elektrik berbasikal atau berjalan kaki.
Faedah bersama yang diperoleh daripada aktiviti ini, adalah penurunan kes penyakit jantung, obesiti, kencing manis, kemurungan dan strok. Amalkan gaya pemakanan suku-suku separuh seperti disarankan iaitu lebih banyakkan sayur dan buah-buahan, Kurangkan makan daging. Perubahan diet sihat dapat mengurangkan risiko kanser, kanser usus, obesiti dan sakit jantung.
Dalam pada itu, kawasan hutan dan pokok hijau dapat menyerap karbon dan merembeskan oksigen. Aktiviti masuk ke hutan dan jungle treking dapat memberikan ketenangan dan menurunkan tekanan darah.-UTUSAN









