Menyantuni gurindam dan pantun dua kerat

Menyantuni gurindam dan pantun dua kerat

MAJALAH majalah terutamanya terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang memberikan ruang penerbitan puisi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Gurindam dan pantun merupakan dua jenis puisi tradisional, selain syair, seloka, teromba, talibun dan mantera.

Gurindam merupakan puisi tradisional yang terbentuk daripada dua baris sahaja. Sementara itu, pantun pula terdiri daripada beberapa bentuk lagi seperti pantun dua kerat, pantun empat kerat, pantun enam kerat, pantun delapan kerat dan pantun dua belas kerat. Jenis-jenis pantun ini mudah dikenali, berdasar jumlah baris di dalamnya.

Memandangkan pantun-pantun ini mudah dikenali berdasarkan jumlah barisnya, seharusnya kita tidak menghadapi kekeliruan pula untuk membezakan pantun dua kerat dan gurindam. Kedua-dua puisi tradisonal ini memiliki dua baris sahaja.

Kamus Dewan (edisi keempat) mendefinisikan gurindam sebagai puisi tradisional Melayu yang mempunyai dua baris dalam setiap rangkap dan mengandungi nasihat, pengajaran atau kebenaran. Rima akhir setiap barisnya adalah sama (a,a).

Baris pertama bagi setiap rangkap gurindam merupakan persoalan atau syarat manakala baris keduanya pula merupakan jawapan, akibat atau kesan daripada baris pertamanya. Gurindam tidak memiliki pembayang seperti pantun.

Gurindam dikatakan berasal daripada bahasa Sanskrit iaitu kirindam yang bermaksud perumpamaan.

Bentuknya dikatakan hampir menyerupai talibun, teromba dan mantera. Namun, perbezaan yang jelas adalah gurindam tidak memiliki unsur-unsur mistik seperti mantera dan tidak memiliki unsur-unsur salasilah atau undang-undang seperti teromba.

Dalam masyarakat Melayu, contohnya gurindam Dua Belas merupakan gurindam yang terkenal dihasilkan oleh Raja Ali Haji,

Hati itu kerajaan
di dalam tubuh,
Jikalau zalim segala anggota pun roboh.
Apabila dengki
sudah bertanah,
Datanglah daripadanya beberapa anak panah.
Mengumpat dan memuji hendaklah fikir,
Di situlah banyak orang yang tergelincir.
Pekerjaan marah
jangan dibela,
Nanti hilang akal di kepala.  Antologi Puisi Tanah Airku, DBP, 2005

Kini, gurindam kembali mendapat tempat di hati masyarakat. Keunikan bentuknya yang hanya terdiri dua baris dengan baris pertama lebih terarah kepada persoalan, gurindam dianggap puisi tradional yan agak mudah ditulis, selain pantun.

Malah, majalah-majalah terutamanya terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang memberikan ruang penerbitan puisi tradisional ini ternyata amat membantu perkembangannya terutama dalam kalangan generasi muda.

Kemunculan beberapa penulis seperti Mohd. Nor Long, Muhammad Kassim Mahmud, Ehsan Jamily, Nazim Mohd. Subari, dan Ridzuan Kamis (sekadar beberapa nama penulis) yang mampu menghasilkan gurindam merupakan satu perkembangan yang menarik dalam usaha mendekatkan puisi tradisional ini dalam kalangan masyarakat moden sekarang.

Malah, kita amat berbangga dengan kemampuan penulis terkenal Nazim Mohd. Subari yang telah menghasilkan Kumpulan Gurindam Bunga Bangsa (DBP, 2022), Gurindam Warisan Ibunda (DBP,2015), Gurindam Bingkisan

Hati (ITBM,2016), Gurindam Wangian Padi (Pena Padu,2020) dan Gurindam Sumbangan Kasih (MZ Edu Publication,2025) yang seharusnya dijadikan panduan untuk melestarikan puisi tradisional ini.

Sementara, pantun dua kerat pula mempunyai dua baris dengan baris pertamanya adalah pembayang dan baris keduanya pula merupakan maksud yang ingin disampaikan. Rima akhir pantun dua kerat tetap kekal seperti pantun-pantun lain iaitu a,b,a,b.

Seperti pantun-pantun lain, pantun dua kerat jua mempunyai tema tertentu seperti jenaka dan permainan, pantun budi, pantun nasihat dan pendidikan dan lain-lain Lihat contohnya,

Pinggan tak retak,
nasi tak dingin,
Engkau tak hendak,
aku tak ingin.
Lotong kekah,
kemput jarinya,
Kembung segah,
kentut jadinya.
Anak lembu merah,
tambat pokok asam,
Sudah kena marah, tarik muka masam.
 Kumpulan Pantun Melayu, DBP, 2018

Baris pertama, pada pantun pertama iaitu pinggan tak retak, nasi tak dingin adalah pembayang dan baris keduanya iaitu engkau tak hendak, aku tak ingin merupakan maksud pantun tersebut. Pantun ini merupakan pantun jenaka dan permainan.

Pantun di bawah pula adalah pantun adat dan resam manusia,

Banyak udang,
banyak garam,
Banyak orang,
banyak ragam.
Gendang gendut, tali kecapi,
Kenyang perut, suka hati.

Lain dulang, lain kakinya,
Lain orang, lain hatinya. (Kumpulan Pantun Melayu, DBP,2018)

Ini pula merupakan contoh pantun nasihat
dan pendidikan,

Siakap senohong,
gelama ikan duri,
Bercakap bohong,
lama-lama mencuri.
Tak tumbuh, tak melata,
Tak sungguh,
orang tak kata.
Langit berkelikir, bumi bertembirang,
Salah-salah fikir, jadi hamba orang.  Kumpulan Pantun Melayu, DBP, 2018

Berdasarkan contoh dan penerangan ringkas tentang gurindam dan pantun dua kerat, pastinya kita seharusnya berusaha menghasilkan kedua-dua bentuk puisi tradisional ini sebagai usaha untuk melestarikan salah satu cabang sastera dan budaya bangsa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×