KOTA TINGGI: Helah dua lelaki melarikan diri daripada pemeriksaan polis sejauh 50 kilometer gagal apabila kereta dinaiki mereka dipintas di laluan berhampiran lampu isyarat Taman Sri Saujana, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.35 pagi itu, polis berjaya menahan suspek tempatan berusia 33 dan 44 tahun yang menaiki kereta jenis Proton Wira itu di lokasi terbabit.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, suspek bertindak memecut kenderaan secara berbahaya selepas enggan mematuhi arahan polis untuk berhenti di Jalan Tun Sri Lanang.
Katanya, tindakan itu menyebabkan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Kota Tinggi mengejar kereta dinaiki suspek dari pusat bandar menghala ke Ulu Tiram.
“Hasil tindakan pantas dan kerjasama anggota MPV, kenderaan suspek berjaya dihentikan di Kilometer 31.5 Jalan Johor Bahru–Mersing. Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan dadah jenis syabu.
“Ujian urin mendapati kedua-dua lelaki positif dadah jenis methamphetamine. Semakan juga mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau kesalahan narkotik dan merupakan individu dikehendaki polis di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, kedua-dua suspek kini direman bermula hari ini hingga 15 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan.-UTUSAN









