KUALA LUMPUR: Pelakon Siti Elizad melihat dunia lakonan bukan sekadar ruang untuk mengembangkan kerjaya, sebaliknya boleh menjadi medan mengumpul pahala apabila naskhah yang dijayakan membawa mesej dan pengajaran kepada penonton.
Siti Elizad, 42, berkata, dia berbesar hati apabila diberi peluang menjayakan karya yang bukan sahaja memberi manfaat kepada penonton, malah turut membuka ruang buat dirinya mempelajari sesuatu yang baharu.
“Bila kita dapat watak yang boleh menyampaikan mesej yang bagus, mengapa tidak kita terima? Sebagai pelakon, mungkin kadang-kadang saya tertanya-tanya, betul ke laluan kerjaya saya ini? Saya sendiri belajar perlahan-lahan.
“Contohnya, ketika menjayakan drama Mistik Bilik Mayat untuk TV Alhijrah, saya perlu memakai stoking. Lama-lama saya rasa, tidaklah teruk atau susah sangat. Walaupun cuaca panas, kita belajar memakai pakaian yang lebih longgar.
“Saya fikir apa yang kita lakukan ini adalah sesuatu yang Allah mahu kita belajar,” katanya pada sidang media Pentas Drama TV Alhijrah 2026 di Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah, di sini, baru-baru ini.
Menurut Elizad, peluang membintangi drama arahan Rashid Sibir itu turut membuka matanya mengenai pengurusan jenazah yang sebelum ini tidak pernah diketahuinya.
“Untuk dapat watak dalam drama sebegini, saya tidak pernah terfikir pun, tetapi tiba-tiba dapat tawaran ini, saya rasa sangat berbesar hati. Kalau saya tidak diberi peluang untuk watak ini, mungkin saya tidak tahu mengenai perkara tertentu.
“Contohnya, tentang nak cabut susuk, saya ingat susuk boleh terus dicabut apabila seseorang meninggal dunia. Rupanya tidak. Perlu panggil orang yang lebih arif.
“Saya juga baru tahu apabila seseorang meninggal dunia, rupa boleh berubah. Itu sebenarnya menakutkan,” katanya.
Justeru, Elizad berkata, pembabitannya dalam drama berkenaan banyak memberikan pengajaran mengenai kehidupan, khususnya berkaitan kematian, amal dan pahala.
“Secara jujurnya, saya ini orangnya banyak berfikir. Tambah selepas berkahwin. Saya dulu cemburu dengan orang sekeliling yang mungkin ada anak.
“Sebab saya fikir, seorang wanita atau mereka yang bergelar isteri, bila berumah tangga, kehidupannya bermula daripada pagi.
“Celik mata, basuh dan gosok baju anak, dapat pahala. Masak, dapat pahala. Jadi bila saya hidup dengan suami saya, saya terfikir, ‘Apa yang saya boleh buat untuk kumpul pahala hari-hari?’
“Kita nak berebut pahala dengan orang lain, betul tak? Mak-mak yang bangun tengah malam pun dapat pahala, penat menjaga anak-anak.
“Jadi saya cemburu dengan mereka. Bila saya berlakon dalam drama ini, saya fikir sebenarnya kadang-kadang Allah belum kurniakan saya zuriat, tetapi saya boleh buat pahala dengan orang sekeliling,” katanya.
Elizad berkata, dia menyedari kebaikan boleh dilakukan terhadap sesiapa sahaja di sekelilingnya, bukan hanya kepada suami.
“Selain daripada saya nak kumpul pahala daripada suami, saya belajar kita keluar rumah, kita boleh buat pahala dengan jiran malah binatang.
“Kadang-kadang zikir kita pun boleh disedekahkan kepada orang lain. Dialog-dialog dalam cerita ini banyak saya terapkan dalam kehidupan sendiri,” katanya.
Mistik Bilik Mayat akan bersiaran menerusi aplikasi penstriman digital AlHijrah Plus (AH+) mulai 22 September hingga 26 Oktober, pada pukul 10 malam.
Siri lapan episod arahan Rashid Sibir terbitan Opera Klasik Film itu membawa penonton mendekati tema kematian, pengurusan jenazah dan pengebumian, iaitu ruang yang jarang diterokai secara mendalam dalam drama televisyen.
Pada masa sama, pelbagai kepercayaan mistik dan amalan yang berakar dalam masyarakat dirungkai menerusi perspektif Islam.
Barisan pelakon termasuk Khir Rahman, Siti Elizad, Omar Abdullah dan Datuk Fauziah Nawi.










