KUALA LUMPUR: UMNO Terengganu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sama ada bergerak secara solo, mengadakan rundingan atau membentuk persefahaman politik bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, parti itu terbuka terhadap semua pilihan, namun akan tetap akur dengan keputusan Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
“Kalau perlu solo, kita bergerak solo. Kalau perlu berunding, kita berunding. Kalau perlu persefahaman, kita adakan persefahaman.
“Jadi, kita terbuka dan tidak ada masalah kerana UMNO Terengganu sudah bersiap sedia,” katanya ketika sidang akhbar selepas melawat Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Ahmad Razif, gerak kerja UMNO Terengganu ketika ini dilaksanakan berasaskan pendekatan bergerak secara solo memandangkan belum ada sebarang rundingan politik diadakan.
Bagaimanapun, katanya, UMNO negeri akan menerima sebarang keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti.
“Buat masa ini, gerak kerja kita adalah dalam konsep solo kerana kita belum mengadakan apa-apa rundingan.
“Tetapi seperti yang saya sebut, akhirnya atas dasar ketaatan, kita akan akur dengan segala keputusan yang dibuat oleh Presiden dan kepimpinan tertinggi UMNO,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Razif mengingatkan supaya sebarang rundingan politik kelak mengambil kira hati dan perasaan rakyat Terengganu, khususnya ahli UMNO di negeri berkenaan.
Katanya, rundingan berkenaan juga perlu memberi ruang dan peluang kepada UMNO untuk bersama-sama mentadbir Terengganu.
“Kalau mahu berunding, pandang-pandanglah. Jangan berunding syok sendiri sehingga akhirnya merugikan UMNO Terengganu.
“Kalau dalam soal persefahaman dan rundingan, biarlah rundingan itu memastikan UMNO Terengganu diberikan ruang dan peluang untuk bersama-sama mentadbir negeri,” katanya. – UTUSAN










