Bagi penggemar nasi berlauk Kelantan, khususnya yang mendambakan rasa autentik gulai kerutuk serati, Mok Yoh Pok Kob D’KL boleh menjadi destinasi yang wajar menjadi pilihan.
Menariknya, selain gulai serati yang menjadi hidangan ‘signature’, restoran yang terletak di Elmina Temu 2, Shah Alam itu turut mengetengahkan pelbagai lauk tradisional Kelantan dalam suasana makan yang selesa, berhawa dingin dan tampak premium. Namun ditawarkan pada harga yang masih munasabah.


Mok Yoh Pok Kob D’KL mula beroperasi pada 11 Julai lalu dengan membawa satu hasrat besar iaitu mengangkat darjat nasi berlauk Kelantan agar lebih dikenali dan dinikmati oleh masyarakat di Lembah Klang.
Pemiliknya, Mohd. Norhisham Awang, 49, berkata, gulai serati menjadi antara menu istimewa kerana hidangan berkenaan agak sukar ditemui di Lembah Klang, lebih-lebih lagi yang menggunakan itik serati.
“Kebiasaannya kalau ke mana-mana kedai menjual makanan Kelantan, mereka menggunakan itik biasa, tetapi kita memilih itik serati bersaiz lebih besar, banyak dagingnya dan rasa yang lebih ‘ummp’.

“Bekalan serati ini kami dapatkan dari Bachok atau kawasan sekitar di Kelantan. Kita masak tiga kawah gulai serati setiap hari dengan penggunaan kira-kira 500 kilogram serati,” katanya.
Mok Yoh Pok Kob D’KL
Elmina Temu 2, No. 41, GF-1F, Jalan Frekuensi AD U16/AD, Elmina, Shah Alam.
Waktu operasi: 7 pagi hingga 6 petang
Selasa hingga Ahad
Menurut Norhisham, penyediaan lauk utama seperti gulai serati, gulai ayam, ikan dan ayam percik dilakukan sendiri dengan bantuan isterinya bagi memastikan kualiti serta rasa masakan sentiasa berada pada tahap yang ditetapkan.
“Kita juga mahu pelanggan yang datang berpuas hati dan menikmati kesedapan makanan sama seperti rasa asli masakan di Kelantan,” ujarnya kepada Mingguan Malaysia.
Pembukaan kedai makan itu turut mempunyai nilai sentimental buat Norhisham apabila ia menjadi sebahagian daripada impian arwah bapanya yang mahu melihatnya membuka kedai makan di Lembah Klang sekiranya mempunyai rezeki lebih.
“Dulu ayah pernah berpesan, kalau ada duit lebih satu hari nanti, bukalah kedai makan di Lembah Klang. Mulanya saya sasarkan untuk buka ketika usia 60 tahun nanti, tetapi direzekikan pada usia 49 tahun saya berjaya buka.
“Bagi mengambil keberkatan, nama Mok Yoh Pok Kob itu pula hasil daripada gabungan panggilan nama mak dan ayah di kampung,” katanya yang berasal dari Kampung Kubang Golok, Bachok.
Nama tersebut bukan sekadar identiti perniagaan, malah menjadi simbol kepada usaha Norhisham membawa sebahagian daripada kenangan dan cita rasa kampung halaman ke Lembah Klang.
Selepas hampir dua bulan beroperasi, Norhisham mengakui sambutan yang diterima jauh lebih menggalakkan daripada jangkaan.
“Alhamdulillah sambutan pelanggan terutama penduduk sekitar Elmina, Kota Damansara dan Shah Alam lebih daripada dijangka. Setiap hari ada penambahan pelanggan, malah mereka yang berbangsa Cina dan India pun turut datang ke kedai saya,” katanya.

Bagi pencinta lauk berkuah pekat dan kaya rempah, gulai serati sememangnya antara menu yang tidak harus dilepaskan.
Selain itu, pelanggan boleh memilih gulai kepala ikan merah, lemak goreng, serati goreng, ayam kampung, daging bakar dan ikan bekok. Bagi yang mahu menikmati hidangan Kelantan yang lebih sinonim dengan sarapan dan makan tengah hari, nasi dagang Kelantan dan nasi kerabu turut tersedia.
Jangan lupa mencuba kuih-muih tradisional seperti pulut pagi dan akok sebagai pembuka selera atau pelengkap hidangan.
Setiap sajian nasi berlauk ditawarkan pada harga antara RM8 hingga RM15, bergantung kepada lauk yang dipilih, manakala gulai kepala ikan merah pula bermula RM25 hingga RM70 mengikut saiz.
Tidak lengkap pengalaman menikmati hidangan Kelantan tanpa mengimbau nostalgia makanan yang dibungkus menggunakan daun pisang.
Justeru, setiap pagi Mok Yoh Pok Kob D’KL turut menyediakan nasi tumpang dengan pilihan lauk seperti udang, telur sambal, ikan dan ayam selain nasi impit bersama sambal kelapa.
Menurut Norhisham, sebahagian makanan berkenaan dibawa terus dari Kelantan sebagai usaha membantu pengusaha kecil dan pembekal makanan tradisional di negeri itu.
Usaha itu menjadikan Mok Yoh Pok Kob D’KL bukan sekadar tempat menikmati nasi berlauk, tetapi turut menjadi satu lagi jambatan menghubungkan cita rasa tradisional Kelantan dengan selera masyarakat di Lembah Klang.
Buat anak Kelantan yang merindui rasa kampung halaman, atau penggemar makanan tradisional yang mahu meneroka kelazatan masakan Pantai Timur, semangkuk gulai serati di Mok Yoh Pok Kob D’KL mungkin mampu menjadi penawar rindu.-UTUSAN









