KUALA LUMPUR: UMNO Kedah memutuskan untuk hanya berunding dengan Pas dan bukannya parti lain dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.
Jurucakap UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, rundingan akan dimulakan dengan ‘minum kopi’ bersama pimpinan Pas Kedah namun tidak akan melibatkan PN.
“Kenapa tidak dengan PN? Sebab, dalam PN ada parti yang diumpamakan sebagai ‘kucing’, parti yang baru dua hari ditubuhkan. Bukan saya kata, tetapi sahabat saya, (Menteri Besar Kedah) Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang kata.
“Parti yang baru dua hari ditubuhkan ini buat kacau. Jadi UMNO Kedah, kami tidak bincang dengan parti yang diumpamakan sebagai ‘kucing’. Kami akan bincang dengan parti Pas,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, di sini, hari ini.
Pada Muktamar Tahunan Pas ke-72 di Kota Bharu, Kelantan, Muhammad Sanusi menegur sikap rendah diri Pas dalam menjalankan rundingan pembahagian kerusi sambil menyifatkan Pas adalah parti ‘gajah’.
“Dilarang tawaduk kepada orang yang tidak tawaduk. Ini masalah orang Pas, dia rasa kerdil. Dilarang berasa kerdil kepada orang yang berasa dirinya besar.
“Pas hari ini sudah menjadi parti gajah. Tiba-tiba lalu kucing yang membawa anak dua tiga ekor, kita sudah takut. Sedangkan dia baru tubuh parti dua hari, selepas itu mari duduk mengajar kita dan kita ikut dia, itu tidak betul,” kata Muhammad Sanusi ketika itu.
Bagaimanapun, beliau tidak menamakan mana-mana parti dalam ucapannya tersebut.
Shaiful Hazizy yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok dalam pada itu melahirkan kebimbangannya terhadap kumpulan-kumpulan tertentu yang sedang membeli ‘insurans last minutes’ susulan pembubaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di beberapa kawasan di Kedah.
Bagaimanapun, katanya, UMNO Kedah menyerahkan 100 peratus keputusan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk menentukan masa depan UMNO di Kedah.
“Tapi kami rasa sedih juga, kalau semalam wakil Perak kata, kalau ikut perundingan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Perak hanya boleh bertanding sembilan kerusi, kami di Kedah ini, untuk memulakan rundingan, dengan berapa kerusi pun kami tidak tahu.
“Jadi, kami serahkan kepada Presiden untuk memetakan kembali, meletakkan kembali UMNO Kedah itu di dalam peta politik negara,” katanya. – UTUSAN










