SANAA: Sebuah kumpulan di utara Yemen cuba menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) Claude milik syarikat Amerika Syarikat (AS), Anthropic, untuk membangunkan sistem panduan, kawalan dan navigasi bagi peluru berpandu balistik.
Anthropic dalam laporan yang diterbitkan pada Khamis berkata, pihaknya berjaya mengesan penggunaan Claude secara haram di beberapa negara, termasuk oleh kumpulan yang berpangkalan di Yemen.
Menurut syarikat itu, pihaknya mengenal pasti kumpulan ancaman di utara Yemen yang menjalankan tiga program pembangunan senjata.
Kawasan utara Yemen merupakan kubu kuat kumpulan Houthi yang menguasai ibu negara, Sanaa.
Program pembangunan senjata itu merangkumi roket berpandu yang menggunakan komputer penerbangan sekelas telefon komersial dengan sistem panduan sasaran pada fasa akhir, peluru berpandu balistik berbilang peringkat dengan sasaran jarak melebihi 2,000 kilometer (km) serta peluru berpandu dalam beberapa varian, termasuk dilengkapi kenderaan luncur hipersonik.
Kumpulan berkenaan turut menggunakan Claude untuk membangunkan perisian bagi sistem persenjataan itu, yang jika dilakukan secara konvensional memerlukan khidmat pasukan jurutera.
“Kami tidak mempunyai bukti pihak terbabit berjaya mengerahkan peranti yang boleh beroperasi, namun mereka melakukan ujian pelancaran roket berpandu.
“Ujian lapangan itu dipercayai gagal dan dalam tempoh beberapa jam, kumpulan berkenaan kembali menggunakan Claude untuk mengenal pasti punca kegagalan.” kata Anthropic.
Syarikat itu berkata, semua akaun yang terlibat dalam aktiviti berkenaan segera disekat selepas kegiatan haram itu dikesan.
Middle East Eye sebelum ini melaporkan, Houthi menerima senjata dan latihan daripada Iran, selain bantuan ketenteraan dari Russia.- AGENSI










