KATHMANDU: Nepal menganggarkan kos pembinaan semula selepas dilanda banjir besar akibat runtuhan glasier di kawasan pergunungan bulan lalu mencecah AS$4.78 bilion (RM19.4 bilion).
Kementerian Luar Nepal berkata, jumlah itu merangkumi kos untuk memulihkan kawasan terjejas susulan bencana pada 26 Ogos yang mengorbankan lebih 1,400 nyawa, manakala kira-kira 5,600 lagi masih dilaporkan hilang.
Banjir besar yang disifatkan seperti tsunami itu bermula di kawasan sempadan China-Nepal sebelum melanda kawasan sekitar, menyebabkan kemusnahan besar terhadap nyawa dan harta benda.
Perdana Menteri, Balendra Shah, berikrar untuk membawa isu berkenaan ke peringkat antarabangsa, khususnya kesan perubahan iklim yang semakin mengancam negara Himalaya itu.
Shah akan melakukan lawatan luar negara pertamanya sebagai pemimpin bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada akhir September ini untuk membangkitkan isu berkenaan, menurut kementerian.
Setiausaha Luar Nepal, Amrit Bahadur Rai, berkata Shah akan berucap di PBB bagi menarik perhatian masyarakat antarabangsa terhadap kehilangan nyawa dan harta benda yang berulang kali terpaksa ditanggung Nepal akibat perubahan iklim serta bencana yang dicetuskannya.
Rai berkata, Nepal memerlukan sokongan jangka panjang masyarakat antarabangsa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan pesat persekitaran di kawasan pergunungan.
“Jumlah keperluan bagi pembinaan semula dianggarkan sekitar AS$4.78 bilion.
“Daripada jumlah itu, kira-kira AS$57.67 juta diperlukan untuk kerja pembinaan semula dan pemulihan jangka pendek dalam tempoh enam bulan akan datang, manakala sekitar AS$4.71 bilion diperlukan bagi pembinaan semula jangka panjang,” kata jurucakap Kementerian Luar Nepal, Lok Bahadur Chhetri.
Nepal, negara yang sebahagian besarnya terdiri daripada kawasan luar bandar dengan populasi 30 juta penduduk, menyumbang hanya sebahagian kecil daripada pelepasan gas rumah hijau global berbanding negara-negara perindustrian.
Penilaian awal PBB menganggarkan kerosakan bangunan akibat banjir di Nepal sahaja mencecah AS$158 juta (RM643 juta), sambil memberi amaran jumlah kerugian keseluruhan dijangka jauh lebih tinggi, termasuk kerosakan jalan raya dan jambatan, tanah pertanian serta kos kemanusiaan.
Pasukan penyelamat Nepal masih menjalankan kerja mengorek terowong jana kuasa hidro yang ditenggelami lumpur sejuk beku, dengan ratusan pekerja antara yang masih hilang.- AFP










