Tanah runtuh: Lorong kiri PLUS arah selatan di KM263.6 ditutup

Tanah runtuh dekat Terowong Menora, lorong kiri PLUS ditutup

RAKAMAN CCTV dari Vista Point bagi membolehkan pemantauan berterusan terhadap kawasan tanah runtuh berhampiran Terowong Menora, Ipoh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Lorong kiri Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di Kilometer 263.6 ditutup sebagai langkah berjaga-jaga susulan kejadian tanah runtuh di kawasan berkenaan, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, penutupan itu membabitkan pemasangan kon keselamatan bermula dari Kilometer 262.8 hingga Kilometer 263.8 arah selatan melibatkan jarak kira-kira satu kilometer.

“Buat masa ini, aliran trafik bertentangan (contraflow) belum diaktifkan dan pergerakan trafik masih dipantau dari semasa ke semasa bergantung kepada keadaan di lokasi.

“Polis bersama pihak PLUS dan agensi berkaitan terus menjalankan pemantauan bagi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan Vista Point turut difokuskan ke lokasi kejadian bagi membolehkan pemantauan berterusan terhadap keadaan kawasan tanah runtuh dan pergerakan trafik di laluan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna lebuh raya supaya memandu dengan berhati-hati, mematuhi arahan petugas dan papan tanda keselamatan serta mengurangkan kelajuan ketika melalui kawasan berkenaan.

Terdahulu, beliau berkata, kejadian tanah runtuh yang berlaku kira-kira pukul 4.30 petang, sekitar dua kilometer selepas Terowong Menora itu menyebabkan lorong kiri lebuh raya terjejas.

Susulan kejadian itu katanya, lorong kiri berkenaan ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dijalankan manakala aliran trafik dialihkan ke lorong kanan.

“Bagaimanapun, kerja-kerja pembersihan selesai dilaksanakan sebelum semua lorong dibuka semula kepada pengguna lebuh raya pada pukul 7 malam.

“Tiada kemalangan jiwa, kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan susulan kejadian berkenaan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×