Kerusi Parlimen Sabah, Sarawak ditambah – PM

Kerusi Parlimen Sabah, Sarawak ditambah – PM

ANWAR Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, Sabah, semalam. – PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Jumlah ah­li Parlimen dari Sabah dan Sarawak akan ditambah bagi meningkatkan penyertaan ke­dua-dua ne­geri itu di Parlimen selaras dengan prinsip termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan (MT) MA63 di sini semalam.

Katanya, keputusan terbabit mengambil kira prinsip asal MA63 yang memperuntukkan satu pertiga kerusi Parlimen kepada Sabah dan Sarawak pada 1963.

“Perkara paling utama adalah keputusan untuk memindahkan dan membolehkan penyertaan Ahli-Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak bertambah seperti yang dijanjikan dalam MA63. Penambahan itu mestilah melibatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak yang lebih tinggi,” katanya selepas mempengerusikan MTP MA63 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.

Anwar berkata, walaupun terdapat kemungkinan penambahan kerusi Parlimen dari Semenanjung, prinsip bahawa nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak perlu lebih tinggi daripada yang ada sekarang tidak boleh dike­tepikan.

“Penambahan tidak bermakna hanya menyamakan dengan apa yang sedia ada, tetapi penambahan yang disertai dengan peningkatan nisbah penyertaan Sabah dan Sarawak. Itu perkara pertama yang penting,” katanya.

Menurutnya, mekanisme pe­nambahan kerusi berkenaan akan dibincangkan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau menambah Jemaah Menteri sebelum ini telah bersetuju secara prinsip mengenai penambahan penyertaan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak sebelum keputusan itu diluluskan secara rasmi pada Rabu lalu.

“Sama ada ia sempat dilaksanakan untuk pilihan raya akan datang, saya tidak pasti kerana ia melibatkan proses pindaan Perlembagaan dan saya tidak mahu mengganggu proses tersebut.

Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, kerajaan turut bersetuju mempercepatkan penambahan pelantikan rakyat tempatan dari Sabah dan Sarawak ke jawatan penting dalam kerajaan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×