KANGAR: MEP21 terus mengorak langkah dengan memberikan tumpuan kepada usaha membina hubungan strategik, memperluas jaringan industri dan memperkukuh pemasaran di negara-negara ASEAN khususnya dalam kawasan Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia–Malaysia–Thailand (IMT-GT).
Selepas menyertai Dieng Caldera Race di Yogyakarta, Indonesia pada Jun lalu, terbaharu,
MEP21 bersama 120 pemain industri sukan pelancongan dari 25 buah negara terlibat dalam The 5th Asia Road Race Forum 2026 yang berlangsung di Bangsaen, Chonburi, Thailand, bersempena Bangsaen10.
Forum antarabangsa itu dianjurkan Bangsaen10 dengan kerjasama Thai Mass Participation Sports Trade Association (TMPSTA) dan Thailand Convention and Exhibition Bureau (TCEB).
Dalam forum tersebut, MEP21 mengetengahkan tiga acara utama yang berlangsung di Perlis antaranya Nakawan Ultra, PUTRA – Perlis Ultra Marathon dan The Northernmost Night Run-Padang Besar Half Marathon
Penyertaan di peringkat antarabangsa merupakan antara usaha MEP21 memperkenalkan Perlis sebagai destinasi sukan pelancongan berpotensi, selain membuka ruang kerjasama dengan penganjur, komuniti pelari dan pemain industri dari negara-negara lain.
MEP21 juga sedang mengadakan perbincangan awal bagi menjalinkan kerjasama dengan beberapa acara antarabangsa, termasuk BYD Singapore Marathon, Songkhla Marathon dan BMW Brunei Half Marathon untuk tahun 2027.
Penyertaan dalam Asia Road Race Forum itu juga memberikan impak besar kepada pemain industri jemputan melalui perkongsian ilmu, perkembangan teknologi acara, strategi pemasaran, pengurusan peserta serta pembinaan jaringan antarabangsa.
MEP21 telah menerima jemputan untuk menyertai forum berprestij ini selama tiga tahun berturut-turut, iaitu pada 2024, 2025 dan 2026.
Pengarah Acara MEP21, Ku Hasrin Ku Abdul Rahman berkata, MEP21 bukan sekadar menganjurkan acara, tetapi mahu membawa nama Perlis dan Malaysia lebih jauh melalui industri sukan pelancongan.
“Hubungan serta jaringan yang dibina hari ini merupakan pelaburan penting untuk perkembangan acara kita pada masa hadapan. Berbekalkan pengalaman lebih 11 tahun dalam industri penganjuran acara, MEP21 akan terus bergerak secara positif dan berdaya tahan, khususnya dalam menghadapi keadaan ekonomi global yang tidak menentu ketika ini.
“MEP21 juga mengambil pendekatan meningkatkan fokus serta menambah baik sistem teknologi maklumat melibatkan sistem pendaftaran, pemasaran dan pengedaran kit perlumbaan. Penambahbaikan ini penting agar pengurusan acara MEP21 kekal relevan, sistematik dan selari dengan perkembangan industri penganjuran acara di luar negara,” katanya.
Katanya, memasuki tahun 2027, MEP21 akan terus memperluas jaringan di negara-negara Asia dengan memberikan tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu barang dagangan, acara dan percetakan
“Usaha ini selaras dengan aspirasi MEP21 untuk berkembang sebagai sebuah organisasi pengurusan acara dan percetakan yang berdaya saing, sekali gus menjadikan acara sukan sebagai platform mempromosikan pelancongan, budaya, komuniti dan ekonomi setempat,” katanya.-UTUSAN










