JDT terus gah di persada Liga Super, benam NSFC 3-0 - Utusan Malaysia

JDT terus gah di persada Liga Super, benam NSFC 3-0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus selepas membenam Negeri Sembilan FC (NSFC) 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam tadi.

Beraksi di laman sendiri, skuad kendalian Xisco Munoz tampil dengan corak permainan menyerang dan hampir memecah kebuntuan seawal minit ke-10.

Penyerang import JDT, Shahab Zahedi pantas memintas hantaran ke belakang pemain lawan dan bijak melepasi kawalan, Azri Ab. Ghani namun sepakan yang dilakukan sekadar terkena tiang gol.

Bagaimanapun, penyerang kelahiran Iran itu mengubati kekecewaan apabila menjaringkan gol pertama pasukan tuan rumah seminit kemudian setelah menyambar bola yang ditepis Azri menafikan percubaan Bergson Da Silva dari luar kotak penalti.

Skuad Hobin Jang Hobin turut mengintai peluang untuk mendapatkan gol penyamaan namun gerakan yang dilakukan gagal disudahkan dengan baik setelah tiada percubaan ke arah pintu gol Harimau Selatan.

Pada minit ke-31, JDT berjaya menambah jaringan menerusi gerakan dimulakan Arif Aiman Hanafi apabila menyungkit bola kepada Afiq Fazail dan pemain tengah itu membuat umpanan kepada Bergson yang melepaskan rembatan deras ke penjuru kanan gol lawan.

Bersambung babak kedua, Zahedi hampir menjaringkan gol kedua peribadinya setelah menanduk bola hantaran silang Oscar Arribas namun Azri bertindak cemerlang menafikan percubaan dari jarak dekat itu pada minit ke-53.

Pertukaran pemain yang dilakukan Gimenez menyaksikan skuad Rusa agresif memburu gol dan hampir berjaya mencipta jaringan pada minit ke-56 namun sepakan lencong Alif Abdul Mutalib dari luar kotak penalti sedikit tersasar.

Peluang terbaik Hobin Jang Hobin hadir pada minit ke-63 berpunca daripada sepakan penjuru Jovan Motika namun rembatan yang dilakukan Yuichi Hirano sekadar menggegar tiang gol JDT.

Pada minit ke-65, JDT berjaya melumpuhkan momentum NSFC apabila meledak gol ketiga perlawanan setelah Arif Aiman membuat umpanan cantik kepada Marcos Guilherme yang tenang melepaskan rembatan lerek menewaskan Azri.

Kemenangan itu membolehkan JDT terus unggul di persada Liga Super selepas mengutip 15 mata daripada lima perlawanan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×