TAIPING: Pelari negara, Mohd Faris Azhari, 29, dan Natasya Soon, 31, menggalas misi memperbaiki catatan peribadi masing-masing apabila bersaing dalam kategori MY50 sejauh 50 kilometer (km) pada Larian Denai UTMB Taiping, awal pagi esok.
Kedua-dua pelari itu merupakan antara 2,700 peserta daripada 63 negara yang menyertai saingan kali ini dengan pelepasan perlumbaan di Dataran Warisan Taiping di sini.
Perlumbaan akan bermula seawal 3 pagi dengan kategori MY100 dilepaskan terlebih dahulu sebelum diikuti MY50 serta kategori lain secara berperingkat.
Mohd. Faris menyasarkan untuk memperbaiki catatan 5 jam 21 minit yang dilakukannya sebelum ini bagi jarak yang sama.
Bagaimanapun, katanya, persiapannya kali ini sedikit terjejas berikutan tempoh pemulihan yang singkat selepas menyertai perlumbaan di Chamonix, Perancis.
“Persediaan saya kali ini tidak begitu mencukupi dari segi recovery, tetapi saya akan cuba memberikan yang terbaik berdasarkan kemampuan yang ada.
“Saya berada selama 14 hari di Chamonix dan memperoleh banyak pengalaman di sana. Saya cuba menerapkan apa yang dipelajari untuk perlumbaan esok,” katanya.
Faris yang bakal membuat penampilan ketiga di Taiping berkata, pengalaman menyertai perlumbaan di kawasan berkenaan membolehkannya menjangka perubahan cuaca yang berlaku, termasuk keadaan panas dan hujan.
Sementara itu, Natasya menyasarkan untuk memperbaiki catatan 9 jam 18 minit yang dilakukannya pada penyertaan tahun lalu, dengan impian mencatat masa bawah sembilan jam.
Pelari kelahiran Sabah itu berkata, walaupun baru menceburi larian denai sejak tahun lalu, pengalaman menyertai beberapa perlumbaan ultra sebelum ini meningkatkan keyakinannya untuk menghadapi cabaran MY50.
“Saya cuba untuk menjadi lebih pantas berbanding sebelum ini. Kalau ada rezeki, saya cuba mendapatkan catatan bawah sembilan jam,” katanya.
Larian Denai UTMB Taiping mempertandingkan lima kategori iaitu MY100, MY50, MY25, MY13 dan MYKIDS, dengan laluan MY100 dan MY50 merangkumi kawasan mencabar termasuk Hutan Simpan Dara dan Bukit Larut. – UTUSAN










