PARIS: Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) pada Jumaat sekali lagi menurunkan unjuran permintaan minyak global tahun ini, susulan peningkatan konflik di Asia Barat dan kenaikan semula harga tenaga.
Agensi yang berpangkalan di Paris itu kini menjangkakan penggunaan minyak pada 2026 menurun sebanyak 2.5 juta tong sehari berbanding tahun lalu, jauh lebih tinggi daripada unjuran penurunan 1.6 juta tong sehari yang dibuat pada Ogos.
Harga minyak mentah kekal jauh lebih tinggi berbanding paras sebelum serangan AS dan Israel terhadap Iran pada akhir Februari, yang mencetuskan perang sehingga menyebabkan infrastruktur minyak di beberapa negara Teluk rosak.
IEA memberi amaran khusus mengenai lonjakan kos diesel akibat kekangan kapasiti penapisan, dengan kerosakan terhadap kemudahan di rantau Teluk menyebabkan bekalan bahan api utama untuk sektor perindustrian dan pengangkutan itu berkurangan dengan ketara.
“Diesel yang menyumbang hampir 30 peratus daripada permintaan global, menyaksikan harga di Amerika Syarikat melepasi paras AS$200 (RM814) setong pada awal September, iaitu 94 peratus lebih tinggi berbanding paras sebelum perang, manakala harga di Eropah dan Asia turut mencatat peningkatan ketara,” kata IEA dalam laporan bulanannya.
Serangan Ukraine terhadap kilang penapisan Russia dan sasaran tenaga lain turut memberi kesan, mendorong kenaikan harga bahan api global yang akan menyebabkan pengguna mengurangkan pembelian, menurut agensi itu.
IEA turut memberi amaran serangan baharu di Teluk dan titik sempit Bab al-Mandeb di Laut Merah yang berterusan terus menjejaskan usaha memulihkan aliran minyak seperti biasa, menyebabkan pihaknya sekali lagi mengurangkan unjuran bekalan dan permintaan bagi baki tahun ini.
Pemberontak Houthi di Yemen pada Jumaat mendakwa menguasai Selat Bab al-Mandeb, laluan perkapalan penting menuju Terusan Suez dan Eropah.
“Keperluan untuk mencapai kemajuan dalam menyelesaikan konflik di Asia Barat serta perang Russia-Ukraine yang kini memasuki tahun kelima lebih besar berbanding sebelum ini bagi mengelakkan tekanan pasaran semakin meningkat dan kemerosotan permintaan,” kata IEA.-AFP










