Jangan kait RCI TH dengan mahu undi, menang pilihan raya - Utusan Malaysia

Jangan kait RCI TH dengan mahu undi, menang pilihan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
Tindakan terhadap isu pengurusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Tabung Haji dan Felda perlu dilihat sebagai usaha melindungi dana awam, bukan strategi politik untuk meraih undi demi kepentingan politik.

Bekas Naib Presiden PKR, TIAN CHUA berkata, reformasi dan tindakan undang-undang mesti dilaksanakan berdasarkan prinsip tata kelola dan pentadbiran yang baik.

Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL dan MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI dibantu jurugambar, SHIDDIEQIIN ZON dan juruvideo, ERNI NADIA, beliau turut menyentuh kekecewaan rakyat terhadap janji-janji parti politik dan usaha reformasi yang belum terlaksana.

PKR ‘RUMAH’ TERBAIK
MINGGUAN MALAYSIA: Saudara membuat keputusan untuk menyertai PKR semula. Apa yang boleh ditawarkan kali ini?
Ada dua hala tuju. Saya tidak mahu mengatakan apa yang saya boleh tawarkan, tetapi saya antara generasi awal yang berada dalam PKR.

Prinsip perjuangan dan rangka objektif yang dibawa PKR adalah sesuatu yang sehaluan dengan idealisme saya. Saya melihat platform ini sangat tepat dan merasakan PKR adalah rumah terbaik untuk saya meneruskan perjuangan.

Saya rasa pengalaman dan tenaga yang saya ada boleh disumbangkan untuk memperkukuh usaha mereka yang mengimpikan sebuah negara yang inklusif serta mampu membangunkan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

JANGAN MUDAH BUAT JANJI
Adakah semangat reformasi dalam kalangan kepimpinan muda PKR semakin tenggelam?
Reformasi adalah satu proses. Ia bukan sekadar semangat dipegang oleh seseorang atau sesebuah parti. Dalam semangat perjuangan, jiwa untuk mempertahankan prinsip dan nilai memang perlu datang daripada pemimpin serta ahli parti.

Reformasi melibatkan perubahan dalam masyarakat, budaya politik dan ekonomi yang sedang berlaku. Reformasi bukan sesuatu yang hanya dibawa oleh satu parti, tetapi lahir daripada interaksi pelbagai arus politik dan pandangan berbeza. Daripada interaksi dan persaingan inilah, perubahan boleh tercetus.

Kita tidak boleh menafikan sumbangan parti lain, termasuk parti yang menjadi lawan kepada PKR. Mereka juga berperanan dalam membawa perubahan.

Dahulu, misalnya, kita berdepan dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang menyekat ruang suara dan kebebasan. Tetapi keadaan hari ini sudah jauh berbeza.

Sebab itu, hari ini seseorang yang mahu menjadi ahli politik perlu sentiasa menilai semula perjuangannya sama ada perjuangan itu masih selari dengan prinsip dan nilai yang kita bawa ataupun sebaliknya.

Politik kita juga sudah berubah. Hampir semua parti mempunyai peluang untuk memerintah. Kita tidak lagi boleh menganggap wujudnya pemerintah yang kekal dan pembangkang yang kekal. Persaingan politik menjadi lebih terbuka.

Tetapi dalam proses ini, kita juga harus mengakui ada pemimpin PKR yang mungkin telah hilang semangat reformasi.

Namun, reformasi itu sendiri adalah satu proses pembelajaran berterusan. Pertama, kita perlu mengingatkan ahli politik supaya jangan mudah buat janji. Pada masa sama, kita perlu mengurangkan politik populis. Ini juga sebahagian reformasi.

Sebagai pemerintah, kita perlu jujur dan ikhlas  kepada rakyat. Kita perlu menjelaskan apa yang boleh dicapai, apa yang mungkin tidak dapat dicapai, dan apakah proses yang diperlukan untuk mencapainya. Rakyat berhak mengetahui realiti pentadbiran, bukan sekadar mendengar janji.

UKUR TAHAP KEKECEWAAN RAKYAT
Adakah rakyat kini kecewa kerana masih ingat janji tidak tertunai?
Saya akui perkara itu. Sebab itu, kita perlu mengukur tahap kekecewaan rakyat kerana ia akan mempengaruhi keputusan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Itu juga akan menjadi satu ruang kepada kita sama ada untuk menabur janji baharu atau menyemak semula janji yang telah dibuat supaya ia lebih realistik dan tepat. Ini juga sebahagian daripada proses membina demokrasi negara.

Tambahan pula dalam keadaan sekarang saingan lebih terbuka. Dahulu, kita tahu siapa yang akan memerintah walaupun sebelum membuang undi. Kita tidak perlu bertanya pun. Begitu juga dengan pembangkang, kerana apa sahaja dilakukan, dianggap tidak akan menang.

Tetapi sekarang, sama ada pembangkang mahupun kerajaan, perlu kembali kepada rangka yang lebih realistik supaya pendekatan politik menjadi lebih rasional. Saya melihat ini sebagai satu proses perubahan yang positif. Kita kini baru memasuki penggal kedua dalam perubahan besar ini.

Saya faham rakyat sangat bimbang mengenai hala tuju negara kita sekarang. Setiap parti membawa visi berbeza dan rakyat mahu memilih parti yang mampu menawarkan jaminan masa depan terbaik kepada mereka.

Bagaimana saudara melihat kedudukan PKR daripada segi kestabilan. Adakah keputusan PRN N9 dan Johor beri kesan kepada kepercayaan rakyat?
Saya tidak boleh nafikan sedikit sebanyak apa yang berlaku ini boleh menurunkan moral dan semangat PKR untuk terus berjuang. Tetapi saya ingin mengingatkan semua, PKR lahir daripada perjuangan yang melalui pelbagai cabaran, termasuk dalam keadaan paling sukar. Namun, PKR tetap berjaya membuat kemunculan dan bertahan sehingga hari ini.

Saya melihat kekecewaan rakyat terhadap PKR sebenarnya berlaku disebabkan ada janji tidak dapat ditunaikan atau tidak dilaksanakan seperti yang diharapkan. Itu adalah hakikat yang perlu kita terima.

Namun, saya yakin PKR masih mempunyai tempat dalam politik negara. Kita tidak boleh hanya melihat politik dalam tempoh satu penggal. Kita perlu melihatnya jauh lebih panjang daripada itu, malah lebih panjang daripada tempoh pemerintahan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kita memerlukan sebuah pentadbiran harmoni demi mengekalkan perpaduan rakyat. Kita tidak boleh membiarkan wujudnya ketegangan yang berlebihan dalam kalangan rakyat kita sendiri.

Di samping itu, saya melihat salah satu transisi terbesar PKR adalah daripada sebuah parti pembangkang kepada sebuah parti yang memegang tanggungjawab untuk mentadbir negara. Dahulu, orang mungkin mengatakan bahawa reformasi hanyalah laungan di tepi jalan. Tetapi hari ini, cabarannya adalah bagaimana reformasi itu hendak dilaksanakan.

KEPIMPINAN PKR DALAM KERAJAAN
Adakah pemimpin PKR dalam pentadbiran kerajaan sekarang terlalu selesa dengan kedudukan hingga ada yang tidak capai prestasi yang baik?
Mungkin dalam kalangan awam yang melihat, ya. Tetapi saya sendiri tidak berada dalam keadaan itu, jadi saya tidak boleh komen sama ada mereka terlalu selesa atau tidak.

Namun, saya sedar mereka berada dalam keadaan agak sulit kerana ini satu pengalaman baharu bagi PKR. Adakah mereka rasa selesa? Saya tidak tahu. Tetapi saya rasa mereka sudah tentu sedar tentang kesukaran untuk memikul tanggungjawab ini.

Saya rasa ada yang sedar, ada yang cuba memperbaiki keadaan, dan mungkin ada juga yang sudah berputus asa atau menyerah. Saya tidak boleh kata secara keseluruhan bahawa PKR begitu.

Pada masa sama, ada yang telah kehilangan kuasa tetapi masih mahu mendapatkan semula kuasa. Jadi, kita menghadapi cabaran dari luar dan juga dalaman. Bagaimana kita hendak menguruskan pentadbiran ini dengan lebih cekap juga satu cabaran. Saya boleh faham bahawa tuntutan terhadap mereka agak tinggi dan mendesak.

PERLU STRATEGI BAHARU
Adakah PH memerlukan satu pakatan dan strategi politik baharu?
Sekarang kita berada dalam keadaan berbeza. Kita bukan sahaja berhadapan dengan pembangkang, malah formula kita gunakan dahulu kini sebenarnya dipraktikkan oleh UMNO dan Pas.

Saya tidak nampak apa yang dikatakan sebagai keajaiban gelombang biru atau gelombang hijau. Mereka sebenarnya hanya meniru apa yang pernah dibuat oleh Barisan Alternatif, kemudian Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan.

Maksudnya, apabila DAP bertanding, parti lain tidak masuk. Bila PKR bertanding, DAP dan Amanah tidak masuk. Begitu juga apabila Amanah bertanding, DAP dan PKR tidak masuk.

Sekarang Pas dan UMNO pula menggunakan pendekatan yang sama. Kalau UMNO bertanding, Pas tidak masuk. Kalau Pas bertanding, UMNO pula tidak masuk.

Itu sahaja sebenarnya, tetapi ia berjaya mencetuskan satu perubahan atau turning the tide sehingga seolah-olah prestasi Pas dan UMNO semakin meningkat. Sedangkan sebenarnya tidak banyak berubah.

Jadi, sekarang kita menghadapi satu cabaran baharu. Mereka telah secara tidak rasmi berpakat dan mengadaptasi taktik yang pernah digunakan oleh Pakatan Harapan.

Saya rasa pada masa sekarang kita perlu menyemak semula strategi kita. Kita perlukan strategi baharu dan perlu memperluaskan skop kerjasama untuk merangkumi spektrum yang lebih luas.

Kita juga perlu melihat hasil daripada reformasi dan suasana politik yang lebih terbuka, muncul banyak parti kecil, parti yang membawa visi berbeza serta pemimpin-pemimpin yang mempunyai pendekatan masing-masing. Tetapi apabila menghadapi pilihan raya, semua parti yang lebih kurang sehaluan dan membawa agenda reformasi perlu duduk bersama untuk membincangkan sama ada kita memerlukan strategi baharu.

Itulah sebabnya saya rasa parti seperti MUDA, PSM dan parti-parti lain, termasuk NGO yang kecewa dengan PH dan mahu menubuhkan parti sendiri, semuanya perlu duduk bersama untuk membincangkan: bolehkah kita bekerjasama? Bolehkah kita berkempen dan membawa mesej kita dengan cara yang lebih berkesan?

LANGKAH SELAMAT DANA AWAM
Adakah saudara melihat pendedahan RCI TH dan Felda, memberi kesan pada PRN Melaka, boleh menyekat gelombang biru dan undi beralih kepada PH?
Saya rasa kita biarkan dahulu dan asingkan isu mendapatkan undi dengan isu pentadbiran.

Dalam usaha untuk menguruskan atau memperbaiki pengurusan GLC, tindakan undang-undang dan reformasi dalaman harus dilakukan, sama ada ia popular atau tidak. Bagi saya, perkara itu memang harus dijalankan.

Ada orang kata, ini mainan politik. Saya rasa kita ketepikan perkara itu dahulu. Jangan hanya kerana kita PKR dan mahu melawan UMNO, maka kita anggap tindakan yang diambil terhadap perkara ini adalah atas dasar politik.

Tidak. Ini melibatkan dana awam dan satu tanggungjawab. Mana-mana kerajaan pun harus berusaha memulihkan prestasi GLC ini. Sama ada tindakan ini akan menjadi popular dan membantu memenangi undi, saya rasa perkara itu tidak sepatutnya dijadikan pertimbangan.

Jangan kita kata, “Kita ambil tindakan ini supaya nanti kita boleh menang pilihan raya di Melaka.” Tidak. Kedua-dua perkara itu tidak boleh dicantumkan.

Perkara ini harus dilihat berdasarkan landasan undang-undang, tata kelola yang baik dan prinsip pentadbiran yang betul.

Kalau perkara ini ditafsirkan sebagai selective prosecution (pendakwaan terpilih) atau dianggap berlaku kerana PKR memusuhi UMNO dan menggunakan tindakan ini untuk mendapatkan undi, kita tidak boleh menghalang sekiranya pengundi melihatnya begitu. Itu risiko yang harus ditanggung oleh PKR. Tetapi bagi saya, kita perlu mengasingkannya.

Saya memang berharap pengundi, sama ada di Melaka atau di tempat lain, akan melihat perkara ini sebagai langkah positif untuk menyelamatkan dana awam. Jangan perkara ini dijadikan sebagai satu bentuk manipulasi politik.

Namun, sama ada pengundi menerima mesej ini atau tidak, itu bergantung kepada bagaimana mesej itu disampaikan melalui kempen dan media massa. Jadi, perkara ini harus diasingkan dan jangan kita kaitkan tindakan tersebut dengan usaha untuk memenangi pilihan raya.

Begitu juga dalam isu lain. Saya sendiri tidak tahu sama ada UMNO mendesak supaya Datuk Seri Najib Razak dibebaskan (diberi pengampunan atau tahanan rumah) itu akan mendatangkan undi atau tidak.

Mungkin bagi UMNO, beliau ialah pemimpin mereka dan mereka merasakan harus menuntut supaya pembebasan pemimpin tersebut berlaku.

Pada masa sama, sama ada isu pembebasan Najib akan mendatangkan undi kepada PKR atau tidak, kita juga tidak tahu. Tetapi saya rasa perkara itu adalah soal undang-undang yang harus diasingkan, bukan dijadikan alat untuk mendapatkan undi atau menjadi popular.

PH BERTEMBUNG BN-PN DI MELAKA
Bagaimana saudara melihat PRN Melaka nanti? Mungkinkah PH tidak akan bekerjasama dengan BN dan bertanding di semua kerusi?
Dalam keadaan sekarang, nampaknya PH mungkin terpaksa bertanding sebagai satu tenaga sendiri dan bergantung kepada kekuatan sendiri.

Saya juga tidak boleh nafikan di Melaka, BN mempunyai kelebihan. Mereka adalah parti pemerintah dan mempunyai kepimpinan agak stabil. Saya rasa mereka juga melihat mereka tidak semestinya perlu bekerjasama dengan mana-mana pihak kerana yakin boleh mengekalkan penguasaan di Melaka.

Bagi saya, dalam demokrasi, memang ada kalah dan ada menang. Ada negeri tertentu yang didominasi parti tertentu. Itu perkara biasa dan sebahagian daripada kepelbagaian politik negara kita sekarang.

Apa yang penting bagi PKR adalah memberi tumpuan kepada PRU akan datang. Biarlah PRU itu menjadi satu medan perjuangan yang kita persiapkan dengan baik.

Kalau ada gabungan (antara) PH-BN, saya anggap itu sebagai sesuatu yang ekstra. Tetapi yang lebih penting kita mengukuhkan organisasi sendiri dan akar umbi sendiri.

PEMIMPIN SELEPAS ANWAR?
Siapa pemimpin yang boleh menerajui PKR selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim?
Sudah tentu ada. Kita boleh bayangkan politik ini seperti hutan kita. Bila satu pokok besar tumbang, sudah tentu ada pokok-pokok baharu yang akan tumbuh.

Saya selalu suka mengambil contoh ini kerana dalam politik, jangan kita hadkan skop pandangan kita kepada keadaan dan tokoh yang kita nampak hari ini sahaja. Kita perlu melihat pandangan yang lebih global dan antarabangsa.

Sebagai contoh, apabila saya melihat apa yang berlaku di Indonesia selepas Suharto dijatuhkan, muncul pemimpin-pemimpin reformasi seperti Megawati, Gus Dur, Amien Rais, Wiranto dan BJ Habibie.

Pada waktu itu, rakyat agak keliru. Mereka mengharapkan selepas Suharto jatuh akan muncul kesuburan demokrasi dan kebebasan. Tetapi apa yang mereka lihat adalah berlaku pertukaran kuasa antara beberapa pemimpin sehingga rakyat tertanya-tanya siapa yang akan muncul selepas itu.

Pada waktu itu, siapa sangka Jokowi akan muncul? Orang tidak pernah menyangka seorang tokoh korporat seperti Jokowi boleh naik menjadi pemimpin. Ketika itu, beliau hanya menjual perabot di Solo. Tidak ada siapa jangka beliau akan muncul sebagai pemimpin negara.

Jadi, saya rasa kita tidak perlu terlalu risau tentang siapa yang akan muncul selepas Anwar.

Kalau ditanya selepas Anwar siapa, saya tidak tahu. Tetapi tanggungjawab kita sekarang semasa Anwar memerintah, biarlah era pemerintahan ini diisi dengan perkara-perkara positif. Saya yakin selepas era pasca-Anwar nanti, akan muncul pemimpin-pemimpin baharu.

Orang selalu mengatakan Anwar adalah PKR dan PKR adalah Anwar. Adakah saudara bersetuju dengan pandangan itu?

Memang bukan. Saya rasa Anwar ialah seorang tokoh yang telah membawa tumpuan rakyat kepada perjuangan perubahan.

Saya masih ingat ketika Anwar dipecat. Pada waktu itu, saya bukan orang Anwar. Saya datang daripada NGO dan saya sendiri pun tidak mengenali Anwar.

Tetapi kita merasakan bahawa sekiranya sistem undang-undang tidak mampu memberikan keadilan kepada seorang Timbalan Perdana Menteri, kita mula tertanya-tanya, adakah rakyat biasa akan mendapat keadilan dan berada dalam keadaan selamat?

Sekiranya seseorang yang mencabar kuasa dalam sistem politik kita boleh ditekan menggunakan pelbagai institusi seperti kehakiman dan kepolisan, sedangkan kita hanya bersuara secara bebas, aman dan berhimpun secara aman tanpa mengancam sesiapa, keadaan itu menimbulkan persoalan besar.

Kita seolah-olah dilihat sebagai pihak yang mahu mensabotaj negara dan merosakkan keamanan masyarakat. Sebab itulah kita mahu melihat perubahan. Perjuangan itu bukan sekadar untuk menuntut supaya Anwar dibebaskan, tetapi untuk melihat pelbagai perubahan berlaku dalam sistem negara.

Sama ada semua yang kita impikan itu berjaya dilaksanakan sepanjang zaman Anwar menjadi Perdana Menteri, saya rasa sudah tentu belum. Masih banyak perkara yang kita tuntut dan perlu dilakukan. Tetapi perubahan bukan berlaku dalam satu hari. Ia memerlukan proses, termasuk meyakinkan rakan-rakan kita di Parlimen dan juga rakyat.

CALON PKR DI PRU16
Bagaimana jika parti meminta saudara menjadi calon dalam pilihan raya akan datang?
Kalau diminta untuk pergi ke tempat baharu, tidak ada masalah. Cuma bagi saya, kalau saya di Batu, saya lebih selesa, sudah biasa di situ.

Kalau dihantar ke Kuala Selangor atau ke satu tempat di Pulau Pinang, saya perlu bermula dari kosong. Saya pun mungkin tidak begitu mengenali kawasan itu. Jadi, saya perlu memberikan sepenuh masa di sana dan tidak punya banyak masa untuk pergi membantu kawasan lain.

Kalau saya yakin dengan sesuatu tempat dan sudah biasa dengan kawasan itu, walaupun dalam tempoh pilihan raya, saya masih boleh pergi ke Wangsa Maju, Gombak atau kawasan lain untuk membantu berkempen. ahaja perbezaannya. Kalau saya pergi ke tempat baharu, saya perlu memberikan sepenuh masa di sana. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×